Berita

Pusat Komuniti Kluang simbol usaha berterusan ke arah perubahan

pic perasmian_3414 (4)KLUANG, 1 SEPTEMBER: Walaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 lalu, pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tetap bekerja keras membantu rakyat dan meneruskan agenda perubahan untuk Malaysia yang lebih baik.

ADUN DAP Mengkibol, Tan Hong Pin berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pusat Komuniti Kluang, semalam.

“Kita sememangnya kecewa dan sakit hati dengan keputusan PRU 13 lalu, majoriti rakyat telah memilih PR buktinya kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan minoriti, undi popular mereka hanya 46 peratus, kemenangan mereka jelas berdasarkan penipuan melalui persempadanan tidak adil.

“Tetapi walaupun tidak berjaya, semangat kita tetap membara untuk terus bekerja. Kita tidak pernah putus asa kerana rakyat sentiasa bersama.

“Walaupun kita tidak menjadi kerajaan, tidak ada bajet, kita mendapat sokongan rakyat. Jadi kalau BN tidak tahu macam mana menjadi kerajaan yang berpihak kepada rakyat, mari kita (PR) tunjukkan pada mereka,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Johor menyatakan, daripada tekad perubahan inilah lahirnya idea untuk membina pusat komuniti yang berteraskan kemasyarakatan.

“Sebaik saja PRU 13 berakhir, esoknya pada 6 Mei perkara pertama yang ingin kami lakukan adalah mengetengahkan konsep pusat komuniti bukannya pusat khidmat.

“BN ajar rakyat kekal bodoh dengan bergantung semuanya pada kerajaan. Jalan berlubang, longkang tersumbat semuanya harapkan MP (Ahli Parlimen) selesaikan. Berbeza dengan PR, kita tidak mahu menjadi MP longkang.

“Kita mahu menggunakan dasar-dasar untuk selesaikan masalah dan kita harap melalui pusat komuniti seperti ini kesedaran politik serta tenaga dari seluruh rakyat boleh memandu perubahan politik dalam PRU akan datang,” ujarnya.

Pusat Komuniti Kluang dibawah seliaan Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam.

Hadir sama adalah Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran, ADUN PAS Parit Yaani,
Aminolhuda Hassan, ADUN DAP Skudai, Dr Boo Cheng Hau, ADUN DAP Bekok, Lim Eng Guan, ADUN DAP Yong Peng, Chew Peck Choo, Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim dan beberapa pimpinan lain. – Roketkini.com