Berita

Mahu sekat air sungai Kedah ke Pulau Pinang, UMNO macam penjajah

995729_515212308549889_300060717_nBUKIT MERTAJAM, 1 SEPTEMBER : Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyifatkan tuntutan Kerajaan Negeri UMNO Kedah supaya air disekat ke Pulau Pinang sebagai bertentangan dengan semangat kemerdeaan dan hanya dilakukan oleh mereka yang bermentaliti penjajah.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan ADUN UMNO Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Mohd Hanipah baru-baru ini yang mencadangkan laluan air Sungai Muda ke sempadan Pulau Pinang disekat.

Ahmad Bashah mendakwa sekatan itu harus jika Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang enggan membayar kepada negeri Kedah kerana telah mengambil air mentah dari sana.

“Cadangan Ahmad Bashah ini jelas menunjukkan bahawa UMNO masih terperangkap dalam mentaliti sebelum Merdeka. Pertama sekali, Ahmad Bashah gagal menunjukkan sebarang semangat perpaduan antara dua negeri berjiran yang bernaung di bawah satu bendera Malaysia.

“Keduanya, beliau berlagak seperti penjajah kerana hanya penjajah akan merompak hak rakyat dan mengeksploitasi sumber semula jadi mereka.

“Perkara ini telah diulang-ulang tetapi UMNO masih tidak faham bahawa Pulau Pinang mempunyai hak riparian (riparian water rights) untuk mengambil air dari Sungai Muda yang melalui sempadan negeri secara semulajadi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga telah meminta untuk berjumpa dengan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir bagi membincangkan perkara ini, namun hingga kini masih tidak ada sebarang pengesahan untuk mengadakan pertemuan itu dari Kerajaan Negeri UMNO Kedah.

Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY menegaskan sikap UMNO yang sengaja mensabotaj urusan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri PR ini juga telah menyebabkan ramai rakyat terbeban dan menderita.

“Bukan saja di Pulau Pinang, tapi UMNO memang sentiasa mengambil pendekatan zaman pra-Merdeka ini terhadap negeri-negeri PR lain, terutamanya melalui sabotaj urusan air di Selangor dan di Kelantan hingga menyebabkan rakyat menderita.

“Apa yang paling mengecewakan ialah Johor melayan Singapura lebih baik dari UMNO melayan negeri-negeri PR. Johor telah sekian lama menjual air mentah pada harga yang teramat murah kepada Singapura dan kemudiannya membeli balik air yang telah dirawat dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada negara jiran itu.

“Jadi sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, 16 September ini saya menyeru UMNO terutama Kerajaan Negeri Kedah supaya menegakkan semangat kemerdekaan dan jangan lagi berlagak seperti penjajah,” tegasnya. – Roketkini.com