Berita

DAP gesa Speaker DUN Perak berlaku adil kepada media

 

sivakumarBATU GAJAH, 2 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar menggesa Speaker DUN Perak, SK Devamani supaya bertindak adil kepada semua pihak terutamanya pihak media untuk menjamin ketelusan dan menegakkan demokrasi di negeri Perak.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan Devamani yang menuduh dan menyalahkan pihak pengawal kerana tindakan tidak membenarkan media untuk mengambil gambar sewaktu persidangan Dewan Negeri Perak berlangsung baru-baru ini.

Menurutnya, perilaku tidak bertanggungjawab sedemikian bukan baru dan ianya telah berlaku sejak rampasan kuasa kerajaan Perak pada 2009 apabila banyak halangan dikenakan oleh Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak kepada wartawan dan jurugambar.

“Wartawan seharusnya bebas merakam setiap adegan yang berlaku dalam persidangan. Mereka seharusnya ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukannya galeri pemerhati, ini adalah untuk menjamin kebebasan media.

“Sebelum 2009, semua wartawan diberi tempat duduk di dalam Dewan Negeri untuk merakamkan persidangan, namun sekarang mereka telah ditempatkan di galeri awam yang tidak sesuai untuk mengambil gambar dan merakam semua percakapan. Ini menyebabkan gambar-gambar yang diambil tidak berkualiti kerana keadaan cermin yang agak gelap,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak menegaskan tindakan meletakkan pihak media di galeri awam itu juga telah menyebabkan mereka tidak dapat membuat laporan dan berita secara langsung kerana tempat itu kalis bunyi.

“Selain dari itu, apabila sistem pembesar suara dipadamkan ketika berlaku perbahasan sengit atau kontroversi, wartawan yang berada dalam galeri itu tidak dapat merakam apa-apa kerana bilik itu kalis bunyi.

“Perkara ini sering kali berlaku dalam Dewan Negeri Perak. Wartawan tidak dapat mendengar perkara sebenar yang berlaku dalam Dewan. Ini menyusahkan pihak wartawan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya sekali lagi mengulangi bahawa pihak media seharusnya ditempatkan dalam Dewan Negeri dan bukannya di galeri pemerhati,” tegasnya. – Roketkini.com