Berita

Mana janji Najib pada masyarakat India dan Cina?

kulasegaranKLUANG, 2 SEPTEMBER: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran menyeru rakyat agar tidak patah semangat dan meneruskan usaha untuk menjatuhkan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, rakyat perlu optimis kerana BN hanya menunggu masa untuk ditumbangkan berdasarkan tindakan mereka yang mungkir janji selepas berakhirnya PRU 13 baru-baru ini.

“Saya percaya bahawa kita boleh mengalahkan BN dan dapat menjadi kerajaan persekutuan pada PRU akan datang. Mengapa saya kata hayat BN akan berakhir? Sebab mereka adalah gergasi politik yang tidak mahukan perubahan dan tidak pernah bercita-cita ke arahnya.

“Saya berikan dua contoh mengapa BN dan pemimpin-pemimpinnya tidak ingin berubah. Pertama, sebelum 5 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat satu lawatan bersejarah ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dong Zhong,

“Tapi hari ini beliau dan timbalannya tidak berminat untuk mendengar keluhan yang dibangkitkan Dong Zhong dan masyarakat Cina terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

“Sebelum 5 Mei juga, Najib bercakap tentang ‘nambikei’ dan menyeru kepada masyarakat India untuk meletakkan kepercayaan kepadanya serta BN untuk kekal sebagai kerajaan.

“Namun kini, apa yang berlaku? Lihatlah sikap mereka dalam kes SK Seri Pristana,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Pusat Komuniti Kluang, beberapa hari lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat menyatakan kedua-kedua isu seperti yang dinyatakan adalah bukti bahawa nasib rakyat akan selamanya tidak akan terbela dibawah pentadbiran BN.

“Kedua-dua sebab yang saya nyatakan ini cukup untuk membuktikan bahawa BN tidak boleh berubah dan tidak boleh membantu rakyat ke arah hidup yang lebih baik.

“Jadi mesej dan sokongan kepada Pakatan Rakyat harus diteruskan untuk menyebarluaskan kempen bahawa BN harus ditumbangkan pada PRU seterusnya,” ujarnya. -Roketkini.com