Berita

BN Perak dikecam politikkan sambutan Hari Merdeka

howard leeIPOH, 2 SEPTEMBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak dikecam kerana menghina sambutan Hari Merdeka ke 56 apabila secara terang-terang menggunakan persembahan dalam sambutan tersebut sebagai bahan kempen politik kebencian dengan membelakangkan semangat patriotik dan demokrasi berperlembagaan.

Memberi respon kepada perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pasir Pinji,  Howard Lee berkata persembahan pantomin berjudul “Malaysiaku berdaulat, tanah tumpahnya darahku” telah menjadi satu sandiwara politik kepartian yang berniat jahat.

“Persembahan itu sepatutnya memberi inspirasi untuk memupuk semangat nasionalisme dan patriotisme di kalangan masyarakat tetapi akhirnya bertukar kepada kecaman terhadap mereka yang tidak berpuas hati kepada kerajaan,” ujar beliau.

Howard berkata, salah satu babak jelas memaparkan penunjuk perasaan memegang plakad ‘Tidak puas hati’, ‘Protes’ dengan latar belakang muzik yang menakutkan.

“Adalah jelas BN telah menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan di hari kebesaran negara ini untuk mendapatkan skor politik mereka sedangkan Hari Merdeka disambut oleh semua rakyat negara ini tanpa mengira apa juga fahaman mahu pun ideologi politik,” katanya yang turut hadir dengan beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat (PR) yang lain semasa sambutan Hari Merdeka di sini. – Roketkini.com