Berita

DAP seru rakyat keluar dari kerangka perkauman

KLUANG, 2 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong menyeru rakyat agar keluar dari kerangka lapuk perkauman kerana ia tidak membawa negara mara ke hadapan malah terperuk dalam kemunduran.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pusat Komuniti Kluang, Johor, baru-baru ini.

“Dalam kita meraikan kemerdekaan negara ke 56 dan Hari Malaysia 16 September ini, saya berharap semua rakyat tidak lagi terperangkap dalam kerangka lama iaitu perkauman. Hanya UMNO/BN yang hendak kekalkan formula lama berasaskan pecahan kaum. UMNO/BN  ternyata ketandusan idea.

“Kerangka dan cara lama ini tidak akan membawa malaysia ke hadapan dan ke mana-mana, kita perlukan kerangka baru yang mana ianya tidak berpaksikan kaum. Semua orang harus dilihat sebagai individu, manusia dan sebagai rakyat Malaysia, itu cara baru yang kita perlu terapkan.lct 3695 (3)

“Hanya dengan memahami keperluan setiap insan, baru kita boleh ada satu kerangka baru untuk negara ini, dimana kita tidak lagi menilai setiap orang mengikut kaum tapi memahami keperluan mereka contohnya seperti perubatan, pekerjaan dan pendidikan. Kerangka baru inilah yang akan membawa kita mara ke hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP menyatakan, walaupun Pakatan Rakyat masih belum bergelar kerajaan namun segala agenda sudah diatur untuk masa depan demi kesejahteraan semua rakyat.

“50 tahun dahulu pada 28 Ogos, Martin Lurther King mengucapkan ‘I have a dream’ dan ucapan itu telah membawah kemajuan hak asasi manusia dan impak besar di seluruh dunia.

“Sebab itu saya katakan walaupun kita bukan kerajaan, tapi kita sudah sediakan agenda baru untuk negara dan seluruh rakyat supaya dapat mengubah pengendalian masyarakat serta pendekatan isu. PR ingin membawa agenda baru untuk Malaysia yang kesejahteraan untuk semua,” ujarnya. – Roketkini.com