Rencana

Anak Mami di Perantauan: Mai aku nak menyumpah

anakmamidiperantauanUTUSAN Malaysia, akhbar milik UMNO tapi mengaku akhbar arus perdana hari ini menyuruh Lim Guan Eng bersumpah. Dua tiga kali juga saya pejam celik tengok tajuk itu. Sebab sekali pandang nampak macam Utusan Malaysia menyuruh Guan Eng supaya menyumpah.

Sumpah seranah adalah benda yang patut dihamburkan kepada Utusan Malaysia, lidah rasmi pemerintah yang kerjanya menyiar berita putar belit penuh tipu daya. Begitu pun masih ada yang membaham tipu daya Utusan Malaysia ini mentah-mentah tanpa banyak periksa. Terhantuk kepala waktu kecil gamaknya.

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP itu disuruh mengangkat sumpah. Tidak cukup beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Menteri, kini Utusan Malaysia mahu Guan Eng angkat sumpah di gereja pula ‘bagi menafikan beliau terbabit dalam penipuan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)’ DAP Disember tahun lalu.

Sudah bulan sembilan, hujung bulan ini DAP sudah mahu bikin kongres untuk pemilihan semula, sepertimana yang didesak Utusan Malaysia, Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan segala bala tentera United Malays National Organisation.

Baru hari ini Utusan Malaysia mahu Guan Eng angkat sumpah?

Ingat ini drama kes liwat Saiful Bukhari kah nak main angkat sumpah?

Malah apa yang lebih jahat ialah tuduhan ‘penipuan’ yang terus disiarkan akhbar fitnah nombor wahid ini. Penipuan kejadah apa? Apa yang ditipu, siapa yang menipu, siapa yang tertipu?

Serangan Utusan Malaysia ini seolah-olah mengandaikan kita ini semua baca surat khabar dia sahaja. Ini kebodohan tingkat tinggi. Macamlah tak ada akhbar lain yang boleh dibaca.

Soal pemilihan dan kesilapan yang berlaku dalam pemilihan tahun lalu sudah jelas. Tak ada penipuan. Yang ada kini ialah operasi politik ROS dan juak-juak yang diberi makan oleh pemerintah untuk menyerang musuh UMNO paling kuat masa kini – DAP, kerana MCA sedang giat bergaduh dan Gerakan sudah seperti telur di hujung tanduk.

Ya, seperti telur di hujung tanduk. Bayangkan ada badak sumbu di celah kelangkang; demikianlah bahayanya. Ini saya kutip daripada laman twitter tadi.

UMNO juga sedang bergolak. Pemilihannya juga kian hampir. Fokus kepada pergolakannya dialih kepada pemilihan semula DAP. Lebih penting DAP daripada UMNO. Kenapa? Sebab Utusan Malaysia tidak mahu rakyat peduli dengan pergolakan politik UMNO. Maka hari demi hari ia menyerang DAP dengan modal yang entah apa-apa.

Ini termasuk memetik entah pemimpin Cina mana yang dilaporkan sebagai Naib Presiden Jaringan Cina Malaysia yang berkata bahawa ‘rakyat perlu mengetahui perkara sebenar di sebalik kontroversi pemilihan CEC itu tanpa sebarang pembohongan atau kenyataan berdolak-dalik daripada pemimpin DAP’.

Uncle. Rakyat sudah pun tahu perkara sebenar. Mereka baca daripada banyak sumber. Entah kenapa uncle boleh biarkan diri dipergunakan Utusan Malaysia.

Uncle. Sewaktu kontroversi ini terbongkar, yang tukang bongkarnya DAP sendiri, malam-malam bikin sidang media mengakui kesilapan. Terpaksa buat muka ketat bila wartawan mengekek ketawa dan menggeleng-geleng kepala dengan kesilapan yang begitu mudah dan mengarut.

Tidak ada mana-mana pihak yang tampil membongkarkan ‘penipuan’. Tak ada. DAP sendiri tunduk memohon maaf dan membetulkan keadaan.

Tak perlu angkat sumpah. Itu kerja budak sekolah tadika curi pemadam untuk meraih simpati. Kerja begini UMNO sahaja yang buat. Baik suruh Perdana Menteri angkat sumpah yang beliau tidak pernah kenal Altantuya.

Utusan Malaysia sungguh-sungguh merupakan akhbar yang mendorong pembacanya menyumpah. Di bawah berita menggesa Guan Eng mengangkat sumpah, ia melaporkan bahawa bekas calon CEC merangkap bekas Ahli Parlimen Seremban, John Fernandez ‘belum terima notis pemilihan semula daripada DAP’.

Akhbar ini dan wartawannya barangkali sudah lupa bahawa John Fernandez sudah mengumumkan dirinya keluar daripada DAP dan bertanding atas tiket bebas pada PRU ke-13, pertengahan April lalu.

Barangkali sudah tiba masanya Utusan Malaysia; wartawan, editor dan tukang ambil gambarnya semua turut buat majlis angkat sumpah beramai-ramai untuk menentukan kebenaran berita dan laporan yang mereka siarkan.-Roketkini.com