Berita

Selesai segera masalah penempatan guru lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah

TeresaKUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER: DAP menggesa kerajaan agar segera menyelesaikan masalah penempatan guru lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) memandangkan terdapat banyak aduan guru berkelayakan yang masih menganggur.

Malah, apa yang menyedihkan, terdapat kes di mana ada di kalangan mereka yang masih belum dipanggil ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

Perkara yang sama turut berlaku ke atas 460 guru yang menamatkan pengajian mereka dalam DPLI – Sekolah Rendah (DPLI-SR) pada 23 Mei lalu.

Menurut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, guru lepasan DPLI-SR itu sepatutnya ditempatkan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina tetapi sehingga kini masih belum mendapat tawaran.

“Apa yang mendukacitakan kami, sekolah ini pula mengalami masalah kekurangan guru,” ujar beliau.

Teresa dalam masa sama turut mengecam Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap yang menyarankan agar graduan perguruan itu mencari apa-apa kerja terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, Timbalan Menteri itu berkata bahawa pihak kerajaan tidak terikat dengan sebarang tuntutan untuk mencari pekerjaan bagi guru berkenaan.

“Kenyataan Yap ini seperti menabur garam ke atas luka dan amat tidak adil. Beliau gagal memahami bahawa mengapa guru itu tidak memilih duduk di rumah atau menganggur.

“Tidakkah beliau tahu bahawa guru terbabit sudah menandatangani dua tahun kontrak dengan kementerian dan bagaimana pula beliau boleh menyangka sekolah persendirian untuk mengambil mereka berkhidmat,” jelas Teresa yang juga Ahli Parlimen DAP Seputeh.-Roketkini.com