Berita

Cubaan Najib kembali kepada agenda ‘Mahathirist’ akan hancurkan ekonomi negara – Ong Kian Ming

ong kian ming 2KUALA LUMPUR, 17 SEPTEMBER: DAP hari ini menyelar agenda Bumiputera baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat memupuk pergantungan Melayu terhadap kerajaan dan meningkatkan birokrasi serta campur tangan dalam pasaran.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, semakan semula Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Najib, Sabtu lalu juga bertentangan dengan program transformasi yang dicanang sebelum ini.

“Daripada kembali kepada kegagalan program kroni ‘Mahathirist’, Najib seharusnya menjalankan audit serius daripada semua program kerajaan sedia ada yang disasarkan untuk Bumiputera supaya dapat mengetahui kelemahan, menangani ketirisan dan memperbaiki prestasi mereka.

“Agenda Bumiputera Najib juga tidak menyebut untuk mensasarkan kepada 40 peratus yang menjadi fokus utama MEB,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pengumuman Sabtu lalu, Najib mengilhamkan penubuhan sebuah Badan Pengupayaan Majlis Ekonomi Bumiputera dan menolak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.

Kian Ming yang juga Strategis Pilihanraya DAP menegaskan bahawa MEB asal yang diutarakan Najib selepas mengambilalih jawatan Perdana Menteri pada April 2009 adalah memberi tumpuan kepada program tindakan afirmatif yang mesra pasaran dan telus untuk meningkatkan 40 peratus pendapatan isi rumah.

“Apa yang lebih mengecewakan adalah Najib tidak menyebut sebarang keperluan untuk golongan miskin di Sabah dan Sarawak, majoriti daripada mereka adalah Bumiputera serta Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kumpulan ini disebut secara khusus dalam MEB serta Rancangan Malaysia Ke-10 lalu,” ujarnya.

Sebaik menjadi Perdana Menteri, Najib melancarkan beberapa inisiatif seperti MEB, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kononnya untuk mereformasi ekonomi dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.

Membidas agenda Bumiputera najib, Kian Ming mengatakan ia jelas merupakan keputusan yang bermotifkan politik menjelang pemilihan UMNO akan datang.

Kian Ming menegaskan, agenda Bumiputera ini mengurangkan persaingan dan memperluaskan peranan kerajaan dalam perniagaan dengan cuba untuk mempengaruhi dasar GLC dan GLIC.

“Agenda ini selain bertentangan dengan ETP, GTP dan MEB serta beberapa aspek termasuk pengurusan kewangan awam dan inisiatif penyampaian kakitangan awam.

“Najib seharusnya memikirkan kaedah meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi. Contohnya seperti cukai pajakan bagi lot Bumiputera dalam IPO untuk mengelak penjualan pegangan untuk untung mudah.

“Agenda untuk Bumiputera Najib ini bukan satu keperluan, sebaliknya ia akan menghancurkan ekonomi dan hubungan sosial negara dalam jangka panjang,” tegasnya.-Roketkini.com