Rencana

Chin Peng: Berlaku adillah pada sejarah Oleh Haris Zuan

chin-peng-0002-smallTIBA-TIBA nama Chin Peng hangat kembali. Anehnya namanya kembali hangat ketika jasadnya mula sejuk – dan mungkin ketika tulisan ini disiapkan, jasadnya telah menjadi abu. Namun rupa-rupanya kemarahan rakyat negara ini terhadap komunis tidak terampun, meskipun bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya itu telah menjadi abu. Malah abunya itu kini akan dipantau oleh polis agar tidak dibawa masuk ke negara ini untuk disemadikan di tanah kelahirannya, Setiawan, Perak.

Sebenarnya agak sulit untuk memahami sikap masyarakat kita ini, kerana pertama kebencian yang ditunjukkan kepada Chin Peng itu (jangan-jangan yang marah ini pun ramai yang tidak jelas hubungan Chin Peng dengan Pendudukan Jepun dan proses kemerdekaan negara) tiada tolok bandingnya. Jika alasannya komunis itu kejam, apakah kita ingin katakan bahawa Jepun yang memenggal kepala orang kampung dan mengirimkan ramai daripada rakyat negara ini untuk mati sengsara di Burma itu kurang kejamnya? Kini Jepun bukan sahaja sahabat, malah merupakan tauladan serta pedoman hingga kekaguman kita terhadap Jepun ini dijadikan sebagai dasar negara.

Maka, mari kita tanyakan dengan jujur, apakah Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan Dr Mahathir itu adalah bukti bahawa kita memaaf dan merelakan tindakan Jepun menampar muka datuk dan nenek kita?

Demikian juga halnya dengan semua kuasa asing – Portugis, Belanda, Inggeris – yang menjajah rantau ini untuk ratusan tahun, membodohkan peribumi di seluruh kepulauan Melayu ini serta memecah-belahkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina. Apakah tindakan kita mengalu-alukan kedatangan pelancong daripada London boleh dianggap sebagai perbuatan khianat terhadap perjuangan Tok Janggut yang dibunuh kejam oleh British dan mayatnya diseret seluruh pekan sebelum digantungkan terbalik untuk ditatap orang ramai?

Sesuatu peristiwa sejarah itu berlaku punya konteksnya yang tersendiri dan harus difahami dengan sepenuhnya, bukan sekadar sekerat-sekerat. Meskipun sejarah tidak mungkin menjadi objektif, namun jika kita berlaku jujur terhadap ilmu, pastinya kita akan lebih hampir dengan kebenaran dan tidak mudah dikelirukan oleh kecurangan propaganda.

Demikian juga halnya dengan Chin Peng ini. Beliau telah menjadi sebahagian daripada naratif sejarah bangsa Malaysia – sama ada sebagai pengkhianat atau pejuang bergantung kepada siapa penilaiannya. Suatu ketika, ketika Jepun mula mendarat, British mula berundur dan meninggalkan Malaya demi memberi tumpuan kepada Eropah. Tinggal hanya PKM sebagai satu organisasi tentera gerila yang tersusun untuk melawan Jepun. Maka sebab itulah, British kemudiannya menyusup masuk ke Tanah Melayu yang saat itu dikuasai oleh Jepun untuk memberi bantuan kepada PKM.

Apakah PKM memerangi Jepun semata-mata kerana perasaan cintakan tanah air? Jawapannya pasti tidak, kerana jelas dalam kalangan masyarakat Cina ketika itu, khasnya generasi pertama yang membenci Jepun kerana kekejaman Jepun terhadap rakyat China semasa Perang Manchuria (1904-1905). Pada masa yang sama, Jepun juga mensasarkan masyarakat Cina di seberang laut, termasuk di Malaya yang mengirimkan wang untuk membantu membiayai peperangan di China. Namun, adalah tidak adil jika mengatakan semua perjuangan PKM semata-mata berpaksikan China, kerana ada dalam kalangan PKM yang memilih untuk melawan Jepun (dan Britsih kemudiannya) kerana melawan penjajahan Tanah Melayu.

Demikian juga dengan British yang sanggup menyusup masuk melalui kapal selam ketika Pendudukan Jepun di Tanah Melayu untuk membantu PKM, bukan atas alasan mahu membebaskan negara ini tetapi semata-mata ingin merampas kembali bumi bertuah yang kaya dengan hasil buminya ini.

Pada masa yang sama, ramai juga penyanjung Chin Peng yang mengagungkan perjuangan beliau kerana berjaya membunuh Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada 1951. Namun, janganlah kita terlalu taksub hingga menafikan fakta bahawa PKM sebenarnya tidak merancang membunuh Henry Gurney, tetapi melakukan serang hendap kerana kebuluran dan kehabisan ubat-ubatan serta peluru. Mereka sendiri hanya mengetahui bahawa seorang daripada orang putih yang mereka bunuh itu merupakan pegawai tertinggi British di Tanah Melayu melalui radio kemudiannya. Perkara ini sendiri diakui oleh Chin Peng dalam memoir beliau.

Namun, harus juga kita insafi, tindakan British mengisytiharkan Darurat pada 1948 bukan sahaja menyebabkan anggota komunis kebuluran di dalam hutan yang kemudiannya melemahkan penentangan mereka tetapi juga memberi kesan yang besar terhadap demografi penduduk di negara ini yang dirasai sehingga kini. British bukan sahaja melancarkan perang saraf melalui propaganda massa tetapi juga bertindak memindahkan ramai masyarakat Cina di pinggir-pinggir bukit dan kampung ke kampung baru berhampiran pekan bagi memutuskan hubungan dengan komunis. Tindakan ini menyebabkan komposisi masyarakat Cina di pekan yang sedia besar meningkat mendadak dan orang Melayu secara tidak langsung kekal di kampung-kampung.

British juga mengerahkan Regimen Askar Melayu untuk memerangi PKM yang sedang melawan British. Secara tidak langsung, British berjaya membuatkan seolah-olah peperangan yang berlaku sebenarnya antara orang Melayu dan orang Cina. British berjaya memastikan tangan mereka kekal bersih.

Kini Chin Peng telah tiada. Beliau tidak meminta banyak daripada kita, hanya mahu abu mayatnya disemadikan di tempat kelahirannya, Setiawan. Tidak lebih. Kita tidak perlu bersetuju dengan perjuangannya dan jika kita tidak mampu menghormati permintaan terakhir seorang tua yang mati dalam buangan, maka hormatilah Rundingan Damai Haadyai 1989 antara Kerajaan Malaysia dan PKM.

Tulisan ini tidak menuntut Chin Peng untuk dibela atau dicemuh, hanya berlaku adillah pada sejarah. Jelas, amat penting untuk kita mencermati sejarah dengan telus, jika tidak sejarah tidak akan dapat membantu kita untuk memahami mengapa kita di sini dan ke mana kita selepas ini. – Roketkini.com