Berita

DAP cabar Paul Low terbalikkan arahan Najib

tony pua (11)KUALA LUMPUR, 17 SEPTEMBER: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menterbalikkan arahan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan perbelanjaan iklan mereka dengan akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.

Menurutnya, jika Paul Low gagal melaksanakan tanggungjawabnya memastikan ketelusan dalam sebarang tindakan kerajaan, beliau harus meletakkan jawatan daripada Kabinet.

“Paul Low harus bukan hanya sekadar memberi maklum balas beliau secara dalaman tapi hati nuraninya sendiri mesti bersetuju bahawa arahan yang diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya kerajaan mengiklankan lebih banyak bahan kepada akhbar Utusan Malaysia merupakan konflik kepentingan yang teruk dan boleh menjejaskan wang pembayar cukai.

“Melalui itu, beliau mesti melakukan tindakan dalam bidang kuasanya sebagai menteri yang telus dan bertanggungjawab untuk memastikan Najib menarik balik arahan tidak masuk akal itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pua yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara berkata demikian merujuk kepada kenyataan Paul Low, Sabtu lalu yang menyatakan ‘Najib adalah Perdana Menteri dan beliau menetapkan keutamaan kerajaan. Ia adalah keputusan yang telus tetapi memihak kepada beberapa orang, jadi tidak semua boleh bersetuju dengan keputusan itu’.

“GLC mempunyai tanggungjawab memastikan mereka adalah penjaga yang baik dan menguruskan aset serta perniagaan mereka dengan baik. Sesiapa sahaja boleh memberi arahan tetapi GLC perlu menilai setiap keputusan mengikut merit kes,” kata Low dipetik portal berita, Malaysiakini.

Pua turut menegaskan, Paul Low tidak seharusnya membazir masa terus berselindung di belakang Najib untuk melakukan pembaharuan dalam kerajaan melainkan beliau sememangnya gembira diperalatkan oleh Perdana Menteri itu.

“Paul Low tidak harus terus menjadi ‘window dressing’ untuk pihak berkuasa dan Najib untuk membentangkan agenda mirip ‘reformasi’ dalam kerajaan,” tegasnya.

Pelantikan Paul Low sebagai Menteri, Mei lalu, kononnya dilihat sebagai isyarat bahawa pentadbiran kerajaan di bawah Najib bersungguh-sungguh mahu menangani rasuah terutama dalam kontrak perolehan kerajaan.

Jumaat lalu, pada perasmian Ibu Pejabat baru Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Najib yang juga Presiden UMNO mendakwa akhbar itu tidak boleh bergantung kepada jumlah pengedaran akhbar semata untuk kekal dalam perniagaan dan pengiklanan diperlukan untuk memastikan ia terus bertahan. Roketkini.com