Berita

Adakah Najib sudah ketepikan MEB?: Kit Siang

kit siang parlimenKUALA LUMPUR, 17 SEPTEMBER: Pengumuman Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu mungkin beliau sudah mengenepikan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalnya sendiri tiga tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata MEB mengakui bahawa penumpuan berlebihan terhadap pengagihan sumber berasaskan etnik telah meningkatkan jurang dan perselisihan antara kaum.

“MEB menyebut dalam Bab 6: Program dan pelaksanaan tindakan afirmatif yang sedia ada akan diteruskan dalam MEB, tetapi selari dengan pandangan pemegang kepentingan yang utama, ia akan dirombak untuk menghapuskan amalan rent-seeking dan ciri-ciri yang mengganggu pasaran yang menjejaskan keberkesanan program ini.

“Tindakan afirmatif akan mempertimbangkan semua kelompok etnik secara saksama dan setara selagi pendapatan isi rumah mereka berada pada kadar 40% terendah. Program tindakan afirmatif yang akan dilaksanakan bersifat mesra-pasaran, selain mengambil kira keperluan dan merit pemohon. Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang akan dibentuk untuk memastikan tindakan afirmatif dijalankan secara saksama dan mampu menangani diskriminasi yang kadang kala mungkin dilakukan oleh kelompok yang dominan.”

“Setelah mendapat tentangan daripada puak rasis dan cauvinis, Najib meminggirkan rancangan menubuhkan Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang.

“Apakah beliau kini mengenepikan MEB dan untuk mengubah program afirmatif agar menjadi program yang berasaskan keperluan dan merit bagi membina keupayaan serta memberi tumpuan kepada kelompok yang pendapatan mereka berada pada tahap 40% terendah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Bab 7 MEB memperingatkan bahawa “Telah sampai masa untuk berubah – keadaan Malaysia sepatutnya lebih baik.”

Katanya, ketika MEB dilancarkan pada Mac 2010, negara ini diingatkan tentang akibat buruk yang akan menimpa jika kita gagal melaksanakan transformasi ekonomi.

Menurut MEB: “Kelemahan yang ada pada kita sekarang menghalang kita untuk keluar daripada perangkap pendapatan menengah. Semua negara Asia Tenggara yang lain sedang berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dalam dekad ini. Tetapi Malaysia berdepan dengan risiko kemerosotan dan kekakuan ekonomi.”

MEB telah mengenalpasti “kemahuan dan kepimpinan politik untuk meleraikan rintangan yang ditimbulkan oleh kelompok berkepentingan diri serta menyiapkan rakyat untuk menyokong perubahan penting dalam arah tuju ekonomi” sebagai “pendorong terpenting” MEB.

Ia menyeru kepimpinan politik agar memberi penekanan terhadap usaha menjelaskan secara koheren wawasan dan agenda MEB serta proses transformasi dan “membentuk langkah penting” untuk “mencipta gelombang sokongan yang kuat daripada semua segmen masyarakat terhadap wawasan ini.”

Ia juga mengingatkan bahawa: “Kerajaan mesti mengambil langkah segera apabila rintangan timbul dan terus berada di landasan yang ditetapkan.”

Menurut Kit Siang, Najib perlu menyatakan sama ada beliau kini mengenepikan MEB dan tidak lagi mempunyai kesanggupan serta daya kepimpinan politik untuk mempertahankan MEB dan terus berada di landasannya agar negara ini dapat keluar daripada perangkap pendapatan menengah ketika berdepan penentangan dan rintangan yang ditimbulkan pengikut beliau sendiri dalam UMNO.-Roketkini.com