Berita

Kerajaan BN patut merakyatkan ekonomi negara

teresa kokKUALA LUMPUR, 17 SEPTEMBER: Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 mencapai sasaran sepatutnya memberi pengajaran kepada kerajaan supaya bermuhasabah dan lebih berhati-hati.

Ia bagi mengelakkan segala dasar baru yang dilaksanakan kerajaan tidak sekadar omong kosong dan terus mengalami kegagalan lebih-lebih lagi dasar yang masih berpaksikan perkauman.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata demikian dalam kenyataan medianya ketika mengulas agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Kita perlu tahu mengapa DEB yang berasaskan perkauman itu gagal mencapai sasaran dan apa pula jaminan Najib terhadap dasar baru ini untuk berjaya,” katanya.

Teresa juga hairan bagaimana Najib yang sinonim dengan slogan 1Malaysia tidak memperkenalkan dasar pemberdayaan ekonomi untuk seluruh masyarakat pelbagai kaum negara ini.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengutamakan dasar yang merakyat dan bukannya berasaskan kaum lagi. Jika bukan sekarang, bila lagi?

“Kita sudah lihat apa yang berlaku kepada DEB dan adakah kerajaan akan mengulangi kegagalan seterusnya?,” tambah beliau.

Teresa yang juga Ahli Parlimen DAP Seputeh berkata, dalam keadaan negara yang makin mencabar, dasar ekonomi berasaskan perkauman hanya akan menyuburkan lagi perasaan buruk sangka dengan kaum berlainan.

“Ini hanya akan membangkitkan sentimen perkauman berbanding memupuk semangat Malaysia yang sejati,” katanya.-Roketkini.com