Berita

Bekas KPN digesa perjelas permohonan Chin Peng untuk kembali ke tanah air – Teresa Kok

Teresa Kok Suh Sim (15)KUALA LUMPUR, 18 SEPTEMBER: DAP menggesa bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang mendakwa Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk kembali ke Malaysia selepas Perjanjian Damai Haadyai 1989.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok mempertikaikan kenyataan Haniff kerana persoalan besar kini apakah Chin Peng benar-benar tidak pernah membuat permohonan untuk kembali atau Haniff cuba menyembunyikan fakta sejarah.

“Satu persoalan besar timbul dan perlu dijawab Haniff adalah samada Chin Peng pernah atau tidak mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan? Biar saya memperingatkan Haniff dalam satu laporan bertarikh 2 Disember 2009 oleh Debra Chong dalam The Malaysian Insider bertajuk ‘What Price Malaysia’s Honour?’

“Sebahagian daripada laporan itu berkata: ‘Chin Peng yang menggunakan nama lahirnya iaitu Ong Boon Hua telah memohon untuk pulang ke Malaysia dan perkara ini diakui oleh Haniff dalam laporan New Straits Times (NST) bertarikh 28 April 1991.

“Haniff kemudiannya mengatakan ‘Chin Peng mengemukakan permohonan agak lewat..pada akhir tempoh yang ditetapkan’,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada laporan akhbar berbahasa Inggeris itu.

Haniff dalam laman portal The Malaysian Insider semalam, mendakwa ‘Chin Peng dan pengikutnya menolak peluang yang diberikan dan mereka perlu berada di luar negara mengikut perjanjian Haadyai, yang ditandatangani pada 1989’

Beliau juga mendakwa Chin Peng tidak menyerahkan permohonannya untuk kembali kecuali pada 2005, namun semuanya sudah terlambat kerana kerajaan tidak ada sebab untuk menerima kecuali dalam tempoh setahun selepas perjanjian.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, pada 9 September 1991, NST melaporkan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Zulkifli Abdul Rahman berkata permohonan Chin Peng ‘sedang diproses’ dan akan diberi layanan sama seperti yang lain, selepas mengumumkan bahawa kumpulan pertama 13 bekas ahli PKM telah pulang kembali ke Malaysia.

“Keesokan harinya, Haniff dilaporkan berkata permohonan Chin Peng sedang di ‘proses’. Akhirnya, polis menafikan pemimpin komunis itu pernah membuat permohonan untuk kembali.

“Jadi saya ingin bertanya, adakah Haniff pernah menafikan atau boleh menafikan bahawa dia tidak pernah mengatakan seperti yang tertera dalam NST pada 1991, iaitu Chin Peng telah mengemukakan permohonan tapi agak lewat daripada tempoh satu tahun yang ditetapkan?

“Apakah Tun Haniff juga sedar bahawa Chin Peng telah menulis mengenai permohonan beliau untuk kembali ke Malaysia dalam memoirnya ‘My Side of History’?,” soalnya.

Dalam bab terakhir bukunya yang bertajuk ‘Buangan berterusan”, Chin Peng berkata: “Selepas pertemuan akhir dalam Perjanjian Damai 1989, saya berharap untuk pulang ke tanah air. Akhir 1990 saya membuat permohonan untuk menetap kembali di Malaysia tetapi ditolak pada akhir Disember 1991”.

“Jadi apa yang dikatakan Chin Peng adalah konsisten dengan laporan NST pada 1991, setakat tarikh permohonan berkenaan.

“Jika Chin Peng memang telah mengemukakan permohonan untuk dalam tempoh yang ditetapkan, maka Haniff harus menjelaskan kenapa permohonannya ditolak,” tegas Teresa. -Roketkini.com