Berita

Ekonomi Melayu-Bumiputera: UMNO main-main tolong Melayu – Datuk Mohd Ariff Sabri

sakmonkol-teck-IMG_8518 (2)RAUB, 18 SEPTEMBER: Kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya berjaya meningkatkan 21 peratus pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera dalam tempoh 43 tahun sejak 1970 walaupun mereka dilihat sering mengumumkan pelbagai dasar dan pelan ekonomi konon untuk membela dan memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Menurut Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, peningkatan 21 peratus itu tidak boleh dibanggakan malah menimbulkan lagi persoalan mengenai kecekapan dan keikhlasan UMNO membela ekonomi Bumiputera bersaing dengan baik.

“43 tahun adalah satu tempoh yang terlalu lama. Tetapi, kerajaan BN khususnya UMNO sering mendabik dada bahawa merekalah pejuang Melayu. Jika begitu, kenapa masih ramai orang Melayu di sini termasuk di Sabah dan Sarawak hidup dalam kemiskinan, mundur malah ada yang melarat?,” soal beliau.

Menurut Mohd Ariff, statistik menunjukkan lebih 10 juta orang Melayu masih berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,500 dan ini terus menimbulkan tanda tanya adakah UMNO benar-benar penyelamat orang Melayu dan Bumiputera yang lainnya.

“Jika kita lihat daripada segi pemilikan orang Melayu dalam aset bukan wang seperti kedai dan bangunan dalam bandar tidak lebih daripada lima peratus dan pemilikan ekuiti hanya 23 peratus.

“Dalam tempoh 43 tahun itu, 90 peratus pembuat keputusan dan di sesetengah tempat sehingga 100 peratus adalah Melayu. Kita dapat lihat, hampir semua pegawai daerah adalah bangsa Melayu, hampir semua pengarah jabatan kerajaan orang Melayu, ketua setiausaha dan timbalannya juga hampir semua Melayu, polis dan tentera kebanyakannya Melayu, begitu juga guru,” jelasnya.

Katanya, tetapi apa yang terus menjadi tanda tanya ialah apa yang kerajaan UMNO/BN lakukan selama 43 tahun?

“Kegagalan UMNO melonjakkan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera adalah disebabkan budaya kronisme yang berakar umbi dalam UMNO itu sendiri.

“Apa yang berlaku, mereka yang diberi kuasa penentuan dan keputusan ini hampir semua diperakui dan disaringi oleh UMNO untuk menentukan mereka penyokong UMNO,” ujar beliau.

Ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baru-baru ini, Mohd Ariff berkata ia akan gagal seperti Dasar Ekonomi Melayu (DEB) jika budaya kronisme dan budaya ‘mengisi tembolok sendiri’ masih diteruskan.

“Pada masa ini, apa yang penting adalah satu agenda merakyatkan ekonomi supaya wujud keadilan sosio-ekonomi secara menyeluruh yang akhirnya dapat mengimbangi ketidakseimbangan yang berlaku.

“Soalnya, adakah UMNO mampu melakukan perkara ini? Orang Melayu pun mereka bohong,” soal beliau.-Roketkini.com