Rencana

“The Missing Link” Merenung jalan berliku, Borneo 50 tahun bersama Malaysia – Bahagian Akhir Oleh Hafiz Zainuddin

HAMPIR setiap hari Albert akan menghidupkan enjin bot berulang alik ke seberang. Rutin hariannya menghantar anak ke sekolah dan ibu yang mahu ke pasar membeli keperluan.

Kalau hari hujan, dia terpaksa menunggu di jeti uzur itu, begitu juga mereka yang setia menunggunya sehingga selesai hujan. Walaupun selepas hujan, kadang-kadang terpaksa juga dia menunggu sehingga air sungai kembali tenang.

Albert merupakan anak tempatan yang tinggal di sebuah kampung di Lundu, Sarawak. Dia menjadi penghubung antara penduduk kampung dan tanah besar. Kalau dia kurang sihat, sepupunya Suleiman akan mengambil alih tugasnya.

Tak kurang, nama Albert disebut dan dikenal orang sampai ke tanah besar kerana jasanya menjadi penyambung nyawa. Pernah pada satu malam rumahnya digegar Matthew yang isterinya sudah mahu bersalin.

Tidak tertangguh Albert turun ke tanah menyiapkan bot membawa Clara dan Matthew menyeberang ke tanah besar. Keesokan harinya, ibu itu dikhabarkan selamat melahirkan anak lelaki melalui pembedahan akibat songsang. Albert hanya tersenyum. Syukur.

Mewarisi kemunduran di negeri kaya

bot srwkSambil menghembus Rave yang dihisapnya, sering dia terfikir, bagaimana suatu hari nanti dia tidak lagi mampu untuk meneruskan kerja yang diwarisi ayahnya itu, lebih-lebih lagi anaknya masih kecil bersekolah dan sepupunya Suleiman juga bukan selalu lapang. Siapa lagi yang mahu menggantikan khidmat mulia itu kepada sekitar 26 keluarga di kampungnya.

Jambatan gantung yang dibina penduduk kampung 20 tahun lalu tidak lagi selamat untuk anak-anak menyeberang ke sekolah. Penduduk kampung bukanlah orang berduit memandangkan hampir semuanya berkebun kecil-kecilan dan ada juga yang mengambil upah menoreh getah.

Ini adalah satu daripada realiti yang dikongsi bersama saya, masih berlangsung di Sarawak. Perahu tambang bukanlah pengangkutan asing di sini kerana masih banyak kawasan luar bandar yang terpisah akibat sungai. Malah, tidak terkecuali di Kuching, ibu negeri Sarawak.

Sering, janji wakil rakyat membina sebuah jambatan konkrit sekadar tinggal janji pecah tanah yang dipenuhi. Kemudian, batang hidung jambatan hanya tinggal sebutan orang kampung dan menjelang pilihan raya.

Justeru itu, ia membuatkan kita terfikir, berapa ramai lagikah Albert yang sanggup untuk terus mencurah bakti kepada masyarakatnya dan sampai bila?

Selamat Hari Malaysia-Roketkini.com