Berita

DAP tolak Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang cuma untungkan segelintir ahli UMNO: Kit Siang

lks (13)KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, DAP menolak Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu kerana hanya segelintir manusia dalam UMNO yang akan mendapat manfaatnya.

Katanya, ini terbukti melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan menghasilkan kekayaan hanya segelintir manusia dalam UMNO sedangkan ia bertujuan mengangkat dan memajukan Bumiputera yang sebahagian besarnya masih berpendapatan rendah.

Selain itu, beliau berkata, agenda yang bernilai RM31 bilion itu dianggap penerusan hegemoni UMNO sebagai penerima manfaat utama sepertimana DEB, sedangkan sebahagian besar kaum Bumiputera masih kekal dalam golongan 40% rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata, rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera juga bukti kegagalan dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib dengan asas membentuk rakyat Malaysia yang mengutamakan warga Malaysia berbanding kaum, keturunan, daerah atau latar belakang sosio-ekonomi.

“Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang meminggirkan bukan Melayu menjadi penolakan Najib terhadap dua dasar paling penting yang diperkenal sebaik menjadi Perdana Menteri pada April 2009 iaitu Model Ekonomi Baru (MEB) yang menjanjikan transformasi program afirmatif berasaskan keperluan dan merit untuk meningkatkan mutu kehidupan golongan yang berpendapatan pada tahap 40% terendah, tanpa mengira latar belakang kaum dan dasar 1Malaysia yang berasaskan konsep kesaksamaan untuk semua, tanpa meminggirkan sebarang kelompok, dengan sokongan dan peluang diberi berasaskan keperluan dan merit.

“Sedangkan Najib sendiri tidak pernah mengakui dan menganggap dirinya “pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai Melayu”, walaupun beliau menonjolkan 1Malaysia sebagai dasar utama kerajaan beliau sejak empat tahun lalu.

“Malah, pada Julai 2011, Najib mengelak apabila ditanya pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia sama ada beliau menganggap dirinya sebagai warga Malaysia dan tanggapannya terhadap kenyataan Muhyiddin yang menganggap dirinya “pertama sekali sebagai Melayu dan seterusnya sebagai warga Malaysia.

“Najib tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya berkata: Saya tidak mahu memberi jawapan yang dapat menimbulkan perbezaan antara saya dengan timbalan saya. 1Malaysia adalah falsafah yang memandu kita. Tidak penting apa yang anda ucapkan, selagi anda patuh (pada konsep 1 Malaysia),” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, sejak Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum empat tahun lalu, sambutan ke-50 kali ini adalah yang paling menggusarkan kerana dua hari sebelum itu Najib membuat tindakan yang menunjukkan beliau bukan lagi seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan peneraju transformasi negara daripada segi tadbir urus kerajaan, politik atau ekonomi.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bernilai RM31 bilion sebagai ‘hari yang sungguh bertuah” dan pengumuman itu sendiri sebagai “acara paling dinanti-nantikan’.

Beliau berkata, tidak hairanlah Muhyiddin begitu gembira, kerana pengumuman itu menandakan kemenangan pendiriannya mengenai “Malay first, Malaysian second” dan berakhirnya dasar 1Malaysia Najib yang belum pun mencecah usia empat tahun.

“Pada Mac 2010 saya telah mencabar Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet ketika itu untuk menyatakan sama ada mereka menyokong penuh dasar 1Malaysia Najib, yang matlamat 1Malaysia untuk menjadikan Malaysia…sebuah negara lebih hebat: sebuah negara yang setiap rakyatnya melihat diri mereka pertamanya sebagai warga Malaysia dan seterusnya mengikut kaum, agama, daerah atau latar belakang sosio-ekonomi dan prinsip 1Malaysia terjalin pada struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.

“Saya secara khusus meminta Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet menyatakan sama ada mereka sanggup mengisytiharkan diri mereka sebagai “warga Malaysia terlebih dahulu” dan kemudian kaum.

“Semua Menteri Kabinet ketika itu membisu seribu bahasa setelah Muhyiddin menganggap dirinya “pertama sekali sebagai Melayu” dan setelah itu baru warga Malaysia.

“Kami sedih kerana sejak empat tahun lalu, hanya seorang Menteri UMNO, iaitu Datuk Seri Nazri Aziz, yang berani mengakui secara terbuka bahawa beliau menganggap dirinya pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai orang Melayu,” katanya.-Roketkini.com