Berita

DAP lantik firma perakaunan antarabangsa, perkukuh proses pemilihan CEC

okmKUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER: DAP hari ini mengumumkan pelantikan firma perakaunan antarabangsa ‘PKF Accountants and Business’ sebagai pemantau dan juruaudit untuk Kongres Khas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang akan diadakan pada 29 September ini.

Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas, Dr Ong Kian Ming berkata, pelantikan PKF adalah berdasarkan kredibiliti syarikat itu menyediakan khidmat nasihat perakaunan dan perniagaan yang terdiri daripada rangkaian 300 syarikat dan 440 lokasi koresponden di 125 negara.

Menurut beliau, PKF juga memiliki lebih daripada 23,000 rakan kongsi dan kakitangan yang menjana perolehan tahunan sebanyak USD2.6 bilion.

“PKF adalah ahli Forum Firma iaitu sebuah organisasi berdedikasi untuk standard kualiti konsisten dan laporan kewangan yang tinggi dengan amalan pengauditan di seluruh dunia.

“PKF buat masa sekarang telah mengkaji dan meneliti penghantaran notis yang dihantar kepada perwakilan untuk menghadiri pemilihan khas CEC.

“Mereka juga akan mengkaji semula formula aplikasi perisian yang akan digunakan dalam pengiraan dan penjumlahan undi. Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap peringkat pemilihan akan diserahkan kepada PKF sebagai bahan rujukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Kian Ming yang juga Ahli Parlimen DAP Serdang turut memaklumkan bahawa PKF turut akan meneliti pendaftaran perwakilan, pengagihan kertas, pembuangan dan pengiraan undi.

“Keputusan akhir pemilihan akan disemak terlebih dahulu oleh PKF sebelum diumumkan. Lima anggota mereka akan hadir menjalankan tugas sebagai pemantau.

“Sebagai tambahan kepada pembabitan PKF sebagai pemantau yang berbeza daripada pemilihan sebelumnya, dua prosedur akan diperuntukan dan diguna pakai untuk memastikan ketepatan keputusan akhir

“Prosedur itu adalah ujian pada ‘spreadsheet’ yang akan digunakan dan penggunaan penjadualan samada manual atau berkomputer,” ujarnya.

Seramai 2,576 perwakilan yang layak akan menghadiri dan mengundi dalam pemilihan khas dan ia adalah senarai sama seperti mana pemilihan Disember lalu di Pulau Pinang.

“Sebanyak 68 calon akan bertanding, namun lima daripadanya menarik diri dan seorang lagi telah keluar parti.

“Keputusan mereka menarik diri dan keluar parti sudah diumumkan pada hari pemilihan tahun lalu.

“Saya juga telah maklum ke atas calon yang mengumumkan untuk menarik diri kali ini. Mereka bebas menyatakan penarikan diri dalam mana-mana saluran yang dirasakan sesuai, namun nama mereka tetap akan tertera dalam senarai calon pada 29 September ini,” katanya.

Kongres Khas DAP 2013 akan diadakan di Hotel One World, First Avenue, Petaling Jaya, Selangor, mulai jam 10 pagi, 29 September ini.

Kongres Khas itu diadakan bertujuan memilih semula 20 ahli CEC sebagai mematuhi arahan yang dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), 30 Julai lalu. -Roketkini.com