Berita

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera hanya bela kroni, jejas hasrat rapatkan jurang miskin-kaya

tony pua (7)KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER: Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dilihat hanya akan menguntungkan sebahagian kecil syarikat GLC milik kroni dan pada masa yang sama fokus menaiktaraf 40 peratus di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) akan terencat.

Ia bakal mengakibatkan jurang miskin kaya masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera keseluruhannya akan terus berleluasa.

Selain itu, menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, ‘pemansuhan’ MEB oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga akan menyebabkan jurang antara kaum dan ekstrimism kaum semakin buruk di Malaysia.

“Jika permulaan dulu Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang terbuka dan moderat, sekarang ia cuma hanya di mulut.

“Ini juga membuktikan slogan dan cita-cita 1Malaysia sekadar slogan untuk memenangi hati pengundi sebelum pilihan raya,” kata Pua.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu berkata, keadaan bertambah buruk apabila Najib tidak segan silu mempertahankan Utusan Malaysia yang terang-terang sering mengapi-apikan perkauman dan fitnah.

“Semua tindak tanduk beliau ini hanya akan menyebabkan keadaan masyarakat pelbagai kaum negara ini semakin bercelaru.

“Kita juga khuatir akan berlakunya ekstrimisme kaum yang dapat dilihat dalam beberapa isu seperti isu di sekolah Sri Pristina dan sebagainya,” kata beliau.

Tegasnya, apa yang dilakukan kerajaan BN kini hanya menangguk di air keruh tanpa memikirkan nasib dan masa depan negara.

Menurut beliau, BN hanya pentingkan kuasa politik mereka, namun Pakatan Rakyat (PR) akan terus berjuang demi Malaysia yang adil di mana seluruh masyarakatnya menikmati kemakmuran sekaligus jurang miskin kaya bakal dirapatkan,” ujarnya.

Tambah Pua, hanya dengan mewujudkan masyarakat yang adil melangkaui batas kaum, agama, geografi dan budaya dengan usaha bersungguh-sungguh pihak kerajaan mahu pun swasta mampu mewujudkan Malaysia yang lebih baik.-Roketkini.com