Berita

DAP mahu lantik ahli majlis ikut pilihan raya kerajaan tempatan, ketua kampung ikut kelayakan

V Sivakumar 1KUALA LUMPUR, 22 SEPTEMBER: DAP bersungguh-sungguh mahu mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat terjamin dan memuaskan.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata, sistem melantik ahli majlis tanpa pilihan raya hanya akan menyebabkan mudah berlaku penyalahgunaan kuasa politik.

“Kaedah pemilihan secara terus yang diamalkan Barisan Nasional (BN) hanya sebagai alat untuk mendorong ahli parti menyokong dan setia kepada BN.

“Pemimpin di peringkat akar umbi boleh diperalatkan oleh pemimpin BN dengan memberi janji jawatan Ahli Majlis kepada mereka dan ia menjadi pendorong memastikan kemenangan BN,” jelas Siva.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu berkata, keadaan campurtangan politik  ini menyebabkan masyarakat setempat akan terus menghadapi masalah.

“Ahli majlis yang dilantik itu hanya menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin politik yang memilih dan melantik mereka.

“Mereka tidak pedulikan rakyat yang amat bergantung dan mengharapkan kerajaan tempatan yang terbabit secara langsung dalam aktiviti harian dan persekitaran mereka. Itu sebabnya kita jarang sekali nampak batang hidung ahli majlis yang dilantik di kawasan kita,” kata beliau.

Dalam kenyataan berlainan, Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz pula menekankan betapa pentingnya pelantikan ketua kampung berdasarkan kelayakan.

“Saya bukan mahu merendahkan ketua kampung tetapi ramai di kalangan mereka bermutu rendah,” ujar beliau.

Katanya, dengan melantik ketua kampung yang berpendidikan dan berkelayakan sekurang-kurangnya diploma, mutu perkhidmatan masyarakat di peringkat kampung dapat dipertingkatkan.

“Ketika dalam UMNO dulu lagi saya menyarankan jawatan ketua kampong diisi dengan pegawai kerajaan sepenuh masa yang sekurang-kurangnya ada diploma.

“Mereka akan duduk dalam kampong dan mentadbir satu rangkaian atau cluster tiga hingga empat kampung manakala jawatan penghulu pula dipenuhi mereka yang berkelayakan lebih tinggi,” kata Mohd Ariff.

Menurutnya, perkara ini akan mengurang politik ketua kampong dan penghulu sekaligus dapat menyelamatkan masyarakat daripada berpecah belah.

“Tapi pemimpin UMNO tidak mahu ini semua. Mereka mahukan ketua kampung yang mereka pilih demi menjaga kepentingan politik mereka.

“Kenapa pentadbiran kampung yang majoritinya orang Melayu susah untuk dimodenkan? Kenapa kekalkan Melayu tinggal dalam kerangka mentaliti feudal dan separuh feudal?,” soal beliau.-Roketkini.com