Berita

Manfaat semangat Hari Malaysia kepada si cilik

impian malaysiaGELANG PATAH, 22 SEPTEMBER: Semai rasa patriotik kepada negara sejak kecil adalah antara program komuniti yang dilakukan Pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah dan Projek Impian Malaysia apabila menganjurkan pertandingan mewarna terbuka untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Pesta mewarna yang diadakan di Plaza Tasek, Taman Ungku Tun Aminah Skudai ini disertai 70 peserta pada 15 September sehari sebelum Hari Malaysia.

Menurut wakil penganjur, Marcus Sew, selain memupuk rasa cintakan negara, pertandingan mewarna itu bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak dan mengeratkan silaturrahim antara komuniti setempat.

“Kami rasa berbangga terhadap sambutan yang diberikan komuniti setempat.

“Bagi masa akan datang, kami menyeru seluruh masyarakat agar dapat terus memberikan sokongan dan mengambil bahagian secara aktif di dalam aktiviti yang kami anjurkan. Ini semua bagi memupuk semangat Impian Malaysia, semangat kerjasama di samping mengeratkan persahabatan dalam sesebuah komuniti,” ujar beliau.

Pertandingan mewarna ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori A (4-6 tahun), kategori B (7-9 tahun) dan kategori C (10-12 tahun).

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dan turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Senai, Wong Shu Qi dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Di samping itu, peserta dan ibu bapa turut dihiburkan dengan  persembahan ‘string quartet’  dan ‘ukelele’ yang menarik perhatian ramai.-Roketkini.com