Berita

Loji Jana Elektrik Arang Batu: Usah perbodohkan rakyat Sabah

STEPHEN-WONGSANDAKAN, 23 SEPTEMBER: Tindakan Kerajaan Persekutuan mengumumkan cadangan membina loji penjana elektrik menggunakan arang batu di persisiran Pantai Timur Sabah mendapat kecaman Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

Menurut Stephen Wong, kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Mahdzir Khalid itu tidak masuk akal apabila memberi alasan cadangan pembinaan itu kerana kenaikan harga bahan api dunia.

“Ini adalah alasan mengarut kerana harga petrol dunia hampir tidak berubah sejak sebelum krisis kewangan dunia 2008 lagi.

“Kalau mereka guna alasan harga petrol yang meningkat, harga arang batu juga tidak menentu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sabah merupakan antara pengeluar petroleum dan gas asli terbesar di Malaysia dan tidak mempunyai arang batu.

“Memang tidak masuk akal apabila kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) mahu memaksa Sabah menggunakan arang batu untuk tujuan itu kecuali mereka mahu menukar sumber minyak dan gas negeri ini ke negeri atau negara lain.

“Jika rakyat Sabah dibenarkan menggunakan sumber asli mereka, sebenarnya tidak perlu lagi sebarang subsidi daripada Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, pembinaan loji penjana elektrik menggunakan arang batu hanya akan merosakkan lagi kekayaan sumber alam semulajadi yang menjadi kebanggaan negeri itu.

“Sebelum ini pun kita sudah dua kali membantah keras cadangan pembinaan loji itu dan mendapat sokongan padu rakyat Sabah sehingga ia dibatalkan.

“Lupakan hasrat itu. Jangan buang masa. Sepatutnya kerajaan sedar pentingnya menjaga alam sekitar. Mereka patut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi tenaga hijau,” kata Stephen Wong.

Beliau mengingatkan kerajaan agar melupakan hasrat membina loji itu dan mendahulukan kepentingan rakyat.

“Jika kerajaan teruskan, ini membuktikan pembatalan peringkat awal dulu cuma sekadar taktik jahat supaya tidak hilang undi pada pilihan raya umum lalu,” katanya lagi.

Stephen Wong adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Anti Arang Batu Sandakan yang berjaya menyatukan 30 badan bukan kerajaan (NGO) membantah projek yang bakal memberi impak kepada alam sekitar ini.-Roketkini.com