Berita

Kenyataan Zahid Hamidi mengenai jenayah bercanggah – Tony Pua

tony pua (7)KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua membidas kenyataan bercanggah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kadar jenayah dalam negara.

Beliau berkata, dakwaan Ahmad Zahid kononya kadar jenayah negara terkawal dan menurun dengan drastik berikutan penahanan kira-kira 7,200 ahli kongsi gelap sejak 17 Ogos lalu hingga sekarang dianggap bertentangan dengan yang diucapkan beliau beberapa bulan lalu.

“kenyataan Zahid Hamidi itu tidak boleh dipercayai kerana sangat bercanggah. Jika benar kadar jenayah berada di bawah kawalan, mengapa beliau masih menjerit-jerit soal isu Ordinan Darurat (EO)?

“Kadar jenayah dan EO tidak saling eksklusif. Jadi beliau perlu memutuskan sama ada pemansuhan EO atau kadar jenayah yang menjadi masalah,” katanya pada perbahasan sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid ketika mengumumkan Ops Cantas pada 20 Ogos lalu menyatakan kadar jenayah semakin meningkat dan memiliki bukti mengenainya.

Beliau juga mendakwa kerajaan sedang merancang untuk mengupah 4,000 kakitangan penguatkuasaan baru bagi memantapkan operasi pencegahan jenayah sehingga 2015. -Roketkini.com