Berita

Empat ADUN DAP Johor sambut baik langkah Pulau Pinang

GELANG PATAH, 24 SEPTEMBER: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Johor memuji dan menyokong penuh langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang menyediakan peruntukan RM40,000 kepada semua wakil rakyat termasuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

Empat wakil rakyat Johor berkenaan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Senai, Wong Shu Qi; ADUN Bekok, Lim Eng Guan dan ADUN Mengkibol Tan Hong Pin dalam kenyataan bersama mereka berkata, sepatutnya semua negeri mencontohi langkah Pulau Pinang tidak menyisih peruntukan kepada wakil pembangkang.

Katanya, wang rakyat seharusnya dibelanjakan untuk kepentingan rakyat bukannya dibelanjakan sewenangnya oleh wakil rakyat yang diamanahkan rakyat pada setiap kali pilihan raya umum.

Bagaimanapun, menurut mereka, apa yang sering dihadapi wakil rakyat pembangkang di negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) sering diabaikan seolah mereka tidak mengiktiraf keputusan dan pilihan rakyat.

“Wakil rakyat oposisi sering berhadapan karenah birokrasi dan masalah membabitkan permohonan bantuan kewangan di kawasan mereka walaupun dipilih secara sah pada pilihan raya umum.

“Berdasarkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu bahawa ADUN Johor tidak mempunyai peruntukan khas dan semua permohonan peruntukan hanya akan diluluskan Pejabat Menteri Besar.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung langkah mewujudkan demokrasi matang di negara ini, mereka berpendapat langkah itu wajar dicontohi semua kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Langkah yang diambil Pulau Pinang itu membuktikan Pakatan Rakyat tidak hanya bermain politik, malah berusaha memanfaatkan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama melalui demokrasi yang matang,” kata mereka.

Justeru itu mereka juga menyeru Kerajaan Negeri Johor mencontohi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang secara langsung dapat mengukuhkan sistem demokrasi dan perkhidmatan masyarakat demi memberi manfaat kepada seluruh rakyat Johor.-Roketkini.com