Berita

Salahkan DAP, ROS sekali lagi tidak hormati undang-undang negara – Gobind

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER: Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo menyifatkan kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman yang mendakwa pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Ahad ini memerlukan ‘Kongres Kebangsaan’ sama sekali tidak berasas dan tidak menghormati undang-undang.

Beliau berkata, kenyataan sedemikian sekali lagi membuktikan ROS tidak bersikap profesional dan sering kali menyalahkan DAP terlebih dahulu sebelum mendengar sebarang keputusan.

Gobind - b“Kenyataan ini menunjukkan lagi sikap ROS yang jelas tidak menghormati proses undang-undang.

“Saya nak tanya, adakah beliau mengikuti prosedur? Kalau tidak, kenapa? Apakah kuasa beliau untuk membuat keputusan dalam cara begini? Dan kenapa beliau membuat kenyataan ini sehari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan soal isu yang sama?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.”Abdul Rahman seharusnya tahu. sekiranya ada aduan, beliau dikehendaki memaklumkan kepada kami dan kemudian meminta kami membuat penjelasan sebelum membuat sebarang keputusan.

Portal berita The Malaysian Insider melaporkan kenyataan Abdul Rahman semalam yang menyatakan bahawa pemilihan CEC DAP memerlukan ‘Kongres Kebangsaan’ dan tempoh notis sewajarnya sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Abdul Rahman turut menasihatkan DAP agar mengadakan pemilihan semula CEC selaras dengan kehendak perlembagaan parti.

Membidas nasihat songsang itu, Gobind yang juga Ahli Parlimen DAP Puchong menegaskan Abdul Rahman seharusnya berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan dan menghormati undang-undang.

“Saya nasihatkan Abdul Rahman supaya berhati-hati. Sebagai seorang ketua jabatan, beliau mesti faham dan menghormati proses undang-undang.

“Pemilihan CEC pada 29 September ini adalah selaras dengan kehendak perlembagaan parti. Wujudnya peruntukan khusus dalam perlembagaan parti yang membenarkan pemilihan dibuat melalui satu Kongres Khas. Kami tetap berpendirian sedemikian.

“Samada atau tidak proses pemilihan semula CEC boleh dibuat melalui Kongres Khas akan kami hujahkan di hadapan Mahkamah yang mulia esok,” tegasnya. -Roketkini.com