Berita

Loji nuklear: Najib beri jawapan bercanggah

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago menyelar jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Parlimen mengenai pembinaan loji nuklear yang ternyata bercanggah daripada data World Nuclear Association (WNA).

Dalam soalannya kepada sidang Parlimen, Charles meminta Najib menyatakan apakah kerajaan bercadang untuk membina empat loji nuklear dan bukan dua.

Beliau turut menuntut Najib memberi penjelasan apakah kerajaan sudah mengenal pasti lokasi dan telah merancang mengadakan rundingan awam di kawasan-kawasan terlibat.

“Namun, dalam jawapan bertulis kepada saya Isnin lalu, Najib mendakwa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan projek pembinaan loji janakuasa nuklear.

charles santiago“Beliau turut mengatakan, kajian penilaian tapak loji nuklear juga belum dilaksanakan sebab itu lokasinya masih tidak diputuskan.

“Saya mendapati jawapan yang diberikan ini bercanggah dan bertentangan sama sekali dari laporan yang dikeluarkan oleh WNA bahawa 5 lokasi telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia dan keputusan akan dibuat pada penghujung 2012,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Charles, jawapan diberikan Najib ternyata amat mengelirukan dan menunjukkan kerajaan tidak telus dalam urus tadbir negara.

“WNA juga menyebut bahawa 3 atau 4 reaktor akan menyediakan 10 ke 15 peratus sumber elektrik untuk negara menjelang 2030.

“Najib cakap belum dilaksanakan, ini amat mengelirukan. Bagaimana beliau boleh katakan masih belum ada lokasi sedangkan WNA memberi data sebaliknya. Jadi siapa yang betul sekarang? WNA atau kerajaan?

“Apakah kepentingan negara hanya untuk Barisan Nasional dan bukannya rakyat? Beliau harus menjawab pertanyaan ini dengan sejujurnya,” tegas Charles. -Roketkini.com