Berita

Peguam Negara hilang kawalan? – Gobind

KUALA LUMPUR, 26 SEP – Sangat aneh apabila Jabatan Peguam Negara boleh merangka dan kemudian mempersembahkan kepada Parlimen sebuah rang undang-undang yang mengandungi unsur-unsur tahan tanpa bicara; yang bukan sahaja dikritik oleh Peguam Negara malah ditentang secara terang-terangan.

Parlimen semalam menerima usulan untuk meminda Akta Pencegahan Jenayah 1959 dengan memasukkan unsur-unsur penahanan tanpa bicara yang memberikan kuasa menahan orang yang disyaki untuk tempoh tidak melebihi 2 tahun serta tidak membenarkan penahanan demikian dirujuk kepada mahkamah kecuali atas alasan prosedur.

gobind mugAhli Parlimen DAP Puchong, Gobind Sing Deo dalam kenyataan medianya hari ini menyeru Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyatakan pendiriannya tentang cadangan pindaan terbabit yang sebelum ini wujud dalam bentuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat yang telah dikritik hebat dan kemudiannya dimansuhkan.

Menurut beliau, pada bulan Ogos lalu Tan Sri Gani dilaporkan berkata dalam sebuah forum bahawa undang-undang berbentuk pencegahan adalah pencabulan hak asasi manusia dan kebebasan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mesti dipertahankan.

Peguam Negara malah mendakwa bahawa penahanan tanpa bicara gagal menurunkan kadar jenayah di dalam negara dan bahawa pihak polis kelihatan ‘ketagih’ menggunakannya.

“Jadi bagaimana pejabat Peguam Negara boleh mendraf sebuah rang undang-undang yang mahu melakukan apa yang disebut Peguam Negara sendiri sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?” soal Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP.

Gobind juga mempersoal sama ada pendapat Peguam Negara sendiri dihormati dalam jabatannya.

“Peguam Negara, selain bertindak sebagai Pendakwaraya adalah juga penasihat undang-undang kepada Yang Di pertuan Agong dan Kabinet. Pastinya pendapat beliau mempunyai nilai sedikit sebanyak.

“Agak mengejutkan, jika tidak pun memalukan, apabila melihat situasi di mana pendapat Peguam Negara tentang sesuatu yang begitu penting langsung tidak dipedulikan,” ujarnya. – Roketkini.com