Berita

RazakSat-2 satu lagi projek mega gagal kerajaan

KUALA LUMPUR, 27 SEPTEMBER: DAP menggesa kerajaan mengemukakan penjelasan terperinci mengenai projek satelit RazakSat-2 yang kini kosnya meningkat 35 peratus dari RM200 juta ke angka mencecah RM272 juta.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau terkejut dengan kos yang begitu melambung walhal projek itu sehingga hari ini belum menampakkan tanda-tanda ke arah penyiapannya.

Dalam jawapan kepada soalan beliau di sidang Parlimen semalam, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyatakan setelah dua tahun projek itu dilancarkan kerajaan memilih untuk menunda pelancarannya pada 2016, setahun dari tarikh asal.

“RazakSat-2 merupakan kesinambungan projek RazakSat-1 yang telah dilancarkan ke angkasa dari Pulau Kwajalein pada 21 April 2010, ianya telah memakan belanja sebanyak RM142 juta.

“Namun selepas hanya setahun dilancarkan RazakSat-1 didapati gagal berfungsi apabila didapat sejumlah 1,328 imej beresolusi tinggi daripada satelit itu tidak boleh dipakai kerana terdapat ralat sehingga 37 km. Dalam kata lain, nak ambil imej Sungai Buloh, terambil pula imej Kuala Selangor yang sejauh 37 km dari sasaran.

“Pada 2011, Ketua Audit Negara turut memberikan teguran keras terhadap projek ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Audit Negara sebelum ini melaporkan bahawa syarikat milik kerajaan Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB) yang mengoperasikan RazakSat-1 telahpun mengalami kerugian berjumlah RM10.89 juta pada 2009 sebelum dilancarkan.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut menyelar jawapan Dr Abu Bakar semalam di Dewan Rakyat yang menyatakan RazakSat kini dalam peringkat memilih rakan kongsi.

“Selepas 2 tahun berlalu dan baru sekarang nak maklumkan bahawa projek ini masih dalam peringkat mencari rakan teknologi dengan ATSB.

“Kemudian beliau katakan RazakSat-2 hanya akan beroperasi pada 2016. Namun, melihat kepada status projek masa kini, amat diragui sama ada ia akan beroperasi menjelang tahun 2016.

“Ironinya, awal tahun ini, Singapura telah mengumumkan satelit penderiaan jarak jauh (remote sensing satellite) komersil yang pertama negara tersebut TeLEOS-1 dan satelit tersebut dijangka akan dilancarkan menjelang 2015,” ujarnya.

Sim juga menyifatkan peningkatan kos projek yang belum pun bermula kerja-kerjanya selepas diumumkan pada 2011 membuktikan kegagalan kerajaan untuk menunjukkan sebarang komitmen serius selain hanya membelanjakan lebih banyak wang.

“Kelewatan projek ini seakan-akan seperti projek RazakSat-1 yang akhirnya gagal dan membawa kerugian sebanyak RM142 wang rakyat,” katanya. -Roketkini.com