Rencana

Impian Malaysia – demokrasi berjiwa rakyat Oleh Lim Guan Eng

Ucapan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Kongres Khas Kebangsaan DAP 2013 pada 29 September 2013 di One World Hotel, Selangor.

Impian Malaysia – demokrasi berjiwa rakyat menerusi urus tadbir maksima, kerajaan minima yang menumpukan usaha memenangi masa depan dengan pendidikan ke arah perpaduan, integriti dan kecekapan.

Salam Ubah dan Salam Bersih kepada semua,

Saya mengalu-alukan semua perwakilan parti yang berkumpul di sini pada pagi semata-mata untuk suatu tujuan. Demi selamatkan DAP daripada serangan-serangan yang jahat, tidak adil dan dibuat dengan sewenang-wenangnya oleh pihak ROS, termasuk kemungkinan membatalkan pendaftaran parti DAP.

Kita sedang berada di dalam krisis kerana kita menjadi mangsa kejayaan sendiri. Dalam sejarah 47 tahun parti DAP, parti kita tidak pernah mencapai kejayaan yang begitu besar seperti yang berlaku dalam PRU ke 13. Kita berjaya memenangi kerusi dari negeri Kedah sampai ke Sabah, dengan 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN; dan kita kini merupakan parti politik kedua terbesar di dalam Malaysia.

Kita adalah rakan kongsi kuasa dengan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor. Kita mempunyai wakil rakyat dari setiap lapisan kaum dan agama; izinkan saya menyebut nama pendekar-pendekar Melayu DAP yang baru seperti Ahli Parlimen Bukit Bendera Sdr Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Raub Dato’ Mohd Ariff Sabri bin Hj Abdul Aziz, ADUN Mentakab Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji; serta ADUN Kadazan pertama kita dari Kepayan, Sdr Dr Edwin Bosi.

Ramai antara wakil rakyat kita yang masih muda dan amat menawan hati, termasuk wakil rakyat paling muda dalam negara, iaitu ADUN Johor Jaya Sdri Liao Cai Tung. Kita mencatat rekod seramai 25 orang wakil rakyat wanita, termasuk wanita India pertama menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan, Sdr Kasthuri Patto dan dua orang ahli dewan undangan negeri wanita, iaitu ADUN Sabai, Sdr Kamache Doray Rajoo dan Sdr Mary Josephine Prittam Singh, ADUN Rahang.

Malah calon-calon yang tidak berjaya dalam pilihanraya umum pun masih menjadi personaliti yang dahsyat, seperti Pengerusi Himpunan Hijau Sdr Wong Tack, yang baru sahaja berjaya mengumpulkan 1 juta tandatangan bagi kempen anti-Lynas. Kita percaya bahawa beliau akan berjaya di kawasan parlimen Bentong dalam pilihanraya umum seterusnya, di mana beliau tewas dengan tipis.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan buat bekas Pengerusi DAP Negeri Sarawak Sdr Wong Ho Long yang tidak dapat bersama kita pada hari ini kerana keuzurannya. Saya percaya kita semua mendoakan kesihatan beliau serta menghargai semua yang telah beliau korbankan untuk parti, yang membolehkan DAP menjadi kuasa pembangkang utama di Sarawak.

Kejayaan dalam pilihanraya ini telah menjadikan DAP suatu ancaman kepada BN. BN sudah hilang akal dan terdesak. Menyedari bahawa DAP tidak boleh dikalahkan dengan adanya sokongan rakyat, BN menyalahguna kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menewaskan DAP dengan mengeksploitasi kejujuran DAP.

Selamanya DAP menegakkan kebenaran dan keadilan. Apabila wujud kesilapan teknikal yang menyebabkan calon yang salah dilantik ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sewaktu Kongres Kebangsaan DAP pada Disember 2013 di Pulau Pinang, kita segera membetulkan kesilapan itu dan melaporkannya kepada umum secara terbuka. Keputusan yang telah dibetulkan itu turut disahkan oleh sebuah firma perakaunan antarabangsa.

ROS telah cuba untuk mengeksplotasi kesilapan jujur DAP dengan pertamanya tidak mengiktiraf CEC yang telah dilantik dan kemudian mengarahkan pemilihan semula diadakan. ROS malah enggan berjumpa dengan saya ataupun memberikan alasan di belakang arahan mereka, mungkin kut kerana mereka langsung tidak ada alasan kukuh untuk diberikan. Walaupun wujud ketidakadilan yang begitu jahat, pimpinan DAP memutuskan untuk tidak melawannya di mahkamah sebaliknya mematuhi arahan yang kejam dan tidak adil untuk mengadakan pemilihan semula ini.

Kita tidak boleh memberikan ROS sebarang alasan atau sebab untuk mengambil tindakan yang lebih kejam dan berat iaitu membatalkan pendaftaran parti. DAP tidak mampu menanggung risiko parti ‘diharamkan’ walaupun untuk satu hari. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli CEC 2008 dan 2012 di atas kebijaksanaan dan ketabahan hati mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan nasional serta barisan ahli DAP kerana memahami dan terus menunjukkan komitmen kepada parti, juga atas sokongan mereka kepada pimpinan parti.

Keputusan untuk mengadakan pemilihan semula melalui Kongres Khas nampaknya mengejutkan musuh-musuh DAP. Daripada mendesak DAP supaya mematuhi arahan ROS, mereka pula berpaling tadah dengan mencuba untuk menghalang DAP daripada mengadakan pemilihan semula. Buat pemilihan semula pun salah, tak buat pun salah. Satu injunksi untuk menghalang Kongres Khas hari ini telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bersykurlah atas usaha Pengerusi Kebangsaan kita Sdr karpal Singh dan Ketua Biro Undang-undang Sdr Gobind Singh Deo, parti DAP telah berjaya di mahkamah dan membuktikan bahawa ROS salah apabila ia mendakwa kita memerlukan notis 10 minggu.

Namun begitu, fitnah tetap dilayangkan. ROS masih mendakwa bahawa 753 perwakilan tidak dimaklumkan untuk hadir ke kongres yang lepas di Pulau Pinang. Ketua Parlimen DAP Sdr Lim Kit Siang telah menyaman Utusan Malaysia di atas pembohongan itu, dan saya pasti Utusan dengan tanpa rasa malu akan menarik balik laporan tersebut dan meminta maaf kepadanya dan kepada DAP, seperti yang telah mereka berkali-kali lakukan sebelum ini.

DAP tidak akan membenarkan taktik yang begitu kotor, terdesak dan destruktif digunakan oleh BN untuk menghancurkan DAP. Tidak dinafikan bahawa krisis ini adalah antara yang paling buruk dalam sejarah DAP. Andaian bahawa parti boleh dihabiskan pada bila-bila masa adalah amat menakutkan. Atas sebab ini, kita mengadakan pemilihan semula pada hari ini untuk memastikan survival parti dan menghidupkan lagi harapan perubahan di Malaysia.

Saya percaya bahawa selepas hari ini, selepas kita melalui krisis ini bersama-sama, kita akan bertambah kuat. Kita mesti terus berjuang demi rakyat, untuk menyuarakan harapan mereka, dan memberikan masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda. Untuk itu kita mestilah menjadi agen perubahan yang dikehendaki rakyat.

Malaysia adalah negara yang sudah pun bangkit dengan laungan kuat ‘Ubah’. Rakyat Malaysia kini menanti-nantikan bila perubahan akan terjadi. Jangan lupa bahawa kita memenangi PRU ke 13 dengan 51% undi popular. Perdana Menteri sebenarnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita menang undi, tetapi kemenangan kita dinafikan.

Daripada 133 kerusi parlimen yang dimenangi Barisan Nasional, 82 daripadanya dimenangi dengan lebih daripada 55% undi tetapi 51 kerusi lagi adalah kerusi marjinal yang dimemangi dengan kurang 5%. Bagi Pakatan Rakyat pula, daripada 89 kerusi yang kita menang, 60 daripadanya dimenangi dengan sokongan lebih 55% manakala 29 kerusi adalah kerusi marjinal dengan kurang 5%.

Dengan kata lain, BN mempunyai lebih banyak kerusi marjinal berbanding Pakatan Rakyat. Dalam pilihanraya akan datang, antara lain, akan menjadi pertarungan antara 51 kerusi marjinal BN dengan 29 kerusi marjinal PR. Daripada 51 kerusi marjinal BN, 30 daripadanya adalah kerusi majoriti Melayu, 9 kerusi campuran dan 12 kerusi Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kita mesti teruskan perjuangan untuk menuntut kembali kemenangan yang sememangnya menjadi milik kita dalam PRU ke 14 dengan memastikan wujud reformasi pilihanraya yang bersih dengan persempadanan yang adil dan menghormati prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai”.

BN terancam dengan DAP kerana kita menawarkan Impian Malaysia yang mendorong perdamaian nasional berbanding balas dendam nasional yang ditawarkan BN, kita melaksanakan politik inklusif dan bukan eksklusif, kita mahu kerjasama dan bukan konfrontasi serta rundingan daripada diktat-diktat. Daripada memecah-belahkan rakyat Malaysia dengan fahaman ekstremisme kaum dan agama, kita menyeru ke arah keharmonian kaum dan rasa hormat terhadap kepercayaan masing-masing. Pakatan Rakyat menolak kebencian, keganasan, ancaman, rasuah dan politik wang; yang semuanya merupakan kepakaran BN.

Politik berbilang kaum dan peluang saksama yang diamalkan DAP adalah alternatif jelas bagi hegemoni perkauman UMNO, justeru membuka jalan kepada orang Melayu – sebagai etnik majoriti di Malaysia – untuk menolak politik perkauman dan membenarkan mereka untuk meraih faedah maksima daripada kekayaan negara berbanding membenarkan segelintir sahaja merompak hasil bumi negara.

BN bergantung kepada model 4M UMNO, iaitu kawalan ke atas Media massa, jentera atau machinery kerajaan, wang (money) dan akhir sekali politik Mahathir yang berasaskan ekstremisme kaum dan agama. BN akan terus menipu untuk demi menutup rasuah, kronisme dan salah guna kuasa mereka. Kalau mereka tidak membeli anda, maka mereka akan menggunakan ugutan dan keganasan. Kalau itu pun tidak berkesan, mereka akan menggunakan pula kebencian untuk kategorikan kita dan kemudian bergantung kepada taktik momokan terhadap kaum minoriti dan DAP sebagai objek yang dibenci.

Bagaimana pun, rakyat bukannya bodoh. Keputusan PRU ke 13 menunjukkan bahawa walaupun mereka gigih meniup api perkauman dan ekstremisme sambil menimbulkan rasa benci dan takut, UMNO sekadar mampu menambah undian Melayu di seluruh negara sebanyak 1.2% sahaja. Sokongan Melayu terhadap UMNO sebenarnya menurun di empat negeri, suatu penurunan yang sangat signifikan lebih 3% di Terengganu dan Perlis, di samping penurunan marjinal kurang 1% di Pahang dan Pulau Pinang.

Apa yang menarik ialah undi Melayu terhadap UMNO turut jatuh di Pulau Pinang, walaupun penipuan terhadap DAP dan fitnah terhadap saya yang kononnya anti Melayu dan anti Islam begitu hebat disebarkan. Dengan kata lain, urus tadbir yang baik adalah amat berkesan dan orang Melayu lebih sukakan kerajaan yang boleh menguruskan negeri sehingga ia lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

Perlahan-lahan, UMNO kini seakan-akan patung harimau kertas, sementara orang Melayu melihat Utusan Malaysia sekadar akhbar yang penuh penipuan. UMNO tersekat dengan model 4M-nya yang semakin hampir ke penghujung. UMNO tidak ada ide baru untuk diutarakan mahupun pemimpin baru untuk ditawarkan selain bermodalkan kaum, agama dan raja bagi menentukan survivalnya.

Kurangnya ide baru dalam UMNO boleh dilihat melalui usaha untuk menghidupkan semula undang-undang draconian seperti penahanan tanpa bicara ataupun Pelan Perkasakan Ekonomi Bumiputera yang dikitar semula, yang sebenarnya merupakan skim cepat kaya bagi kroni UMNO dan tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat Melayu biasa. Jika tidak, kenapa UMNO enggan menjelaskan apa yang terjadi kepada RM52 bilion saham bumiputera yang hilang tanpa ramai orang Melayu biasa memperolehinya satu saham pun daripada saham RM52 bilion itu?

Ini sebabnya kenapa kita berada di sini, bukan setakat untuk memilih kepimpinan baru dan menyelamatkan parti. Sebagai perhimpunan parti yang pertama sejak pilihanraya umum 5 Mei lalu, kita juga berkumpul di sini untuk merangka masa depan DAP, bagi menggerakkan gelombang dan mengekalkan momentum reformasi serta pendemokrasian ekonomi demi generasi akan datang.

Kita, di DAP dan Pakatan Rakyat, mesti memperlihatkan kepimpinan alternatif yang lebih baik dan berprinsip, dan menyuarakan asas dasar yang jelas, sekata, inovatif dan berpandangan jauh terutamanya buat pengundi di kerusi-kerusi marjinal. DAP mengajak kesemua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam Impian Malaysia – demokrasi berjiwa rakyat menerusi urus tadbir maksima, kerajaan minima yang menumpukan usaha memenangi masa depan dengan pendidikan ke arah perpaduan, integriti dan kecekapan.

Pertama, kita ingin memperbaharui keyakinan kita dengan cita-cita Merdeka sebagai bangsa Malaysia di mana kita berusaha bersungguh-sungguh untuk kebebasan daripada penindasan tetapi juga kebebasan daripada belenggu kemiskinan, kebebasan daripada gejala rasuah dan kebebasan dari kejahilan. Kita ingin bebas untuk hidup secara bermaruah. Kita mahu menjadi bangsa yang bersatu, yang mempunyai hubungan antara satu sama lain sebagai bangsa Malaysia. Ingatlah bahawa jika kita orang Malaysia, maka kita adalah orang Malaysia, tidak kira siapa pun kita dan dari mana asal usul kita. Apa yang penting ialah siapa sebenarnya kita. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Kedua, pendemokrasian politik menuntut reformasi terhadap

  • sistem pilihanraya yang bersih dan adil,
  • pemecahan pusat kuasa atau desentralisasi dengan memberikan lebih kuasa kepada negeri dan rakyat dengan mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.
  • mewujudkan kedaulatan undang-undang demi melindungi hak asasi manusia,
  • memperkukuh akauntabiliti dengan menyediakan kebabasan maklumat dan media yang bebas, dan
  • menghormati pilihan pengundi dengan memberikan peruntukan tahunan kepada ADUN dalam kawasan pembangkang sepertimana yang dilakukan di Pulau Pinang.

Ketiga, pendemokrasian ekonomi menuntut supaya pertumbuhan tetapi juga untuk menghentikan ketirisan seperti rasuah dan ketidakcekapan serta membantu mengurangkan ketidaksaksamaan sosial dan memastikan wujudnya pembangunan mampan. Kita kerap dianggap sebagai di antara negara yang paling rasuah di dunia oleh para peniaga. Keyakinan atau amanah awam adalah syarat wajib untuk pertumbuhan ekonomi. Amanah hanya boleh dibina dengan mewujudkan institusi yang:

  • memelihara integriti melalui pengisytiharan harta para pemimpin secara terbuka.
  • menggalakan ketelusan melalui pelaksanaan tender kompetitif terbuka.
  • Menghapuskan kemiskinan dan menyediakan kemudahan asas air, api dan akses internet, khasnya di Sabah dan Sarawak,
  • mengurangkan jurang ketidaksaksamaan sosial dan pendapatan melalui program bantuan yang sistematik.
  • membangunkan sekolah yang berkualiti serta institusi pengajian tinggi yang membina bakat manusia.
  • memansuhkan kabotaj demi memastikan ‘1 Malaysia, 1 Harga’ selain meningkat royalti minyak daripada 5% kepada 20% sebagai tanda solidariti pada ulangtahun ke 50 pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak.
  • haramkan industri yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar seperti nadir bumi, tenaga nuklear dan peleburan aluminium.

Keempat, keterhutangan kerajaan Malaysia yang tinggi (70% daripada KDNK termasuk liabiliti luar jangka) dan hutang isi rumah (83.5% daripada KDNK) mesti diatasi. Pada penghujung 2012, 79% daripada populasi yang bekerja dibayar gaji bulanan kurang daripada RM3,000 manakala 91% dibayar kurang daripada RM5,000 sebulan.Gaji sebenar industri berasaskan eksport meningkat sebanyak 1.9% manakala industri berteraskan tempatan meningkat sekadar 1.4% selepas 1997.

Malaysia terperangkap dalam jerat pendapatan sederhana, dengan kemahiran rendah, produktiviti rendah dan gaji yang rendah. Kenapa pula keuntungan perbankan dibenarkan meningkat bersandarkan kosnya yang ditanggung oleh rakyat dengan hutang yang meningkat? Menambah gaji sebenar untuk pekerja tempatan dan membantu industri kecil dan sederhana dengan bantuan kewangan adalah lebih penting berbanding melaksanakan gaji minima untuk pekerja asing.

Kelima, DAP mestilah menjadi parti wanita dan anak muda. Sementara Pakatan Rakyat telah berjaya menangkap imaginasi anak muda dengan memperkasakan mereka dengan kebebasan, ilmu tentang hak, kemahiran dan tanggungjawab, PR masih belum berjaya menarik minat wanita. Tanpa sokongan wanita, PR tidak boleh berharap untuk menang. Seharusnya ada program yang sistematik yang disasarkan terhadap wanita sama ada dalam bentuk bantuan tunai seperti RM100 setahun untuk surirumah, pemeriksaan mammogram percuma atau penubuhan Briged Wanita seperti yang dilakukan di Pulau Pinang.

Keenam, kita mestilah patut kepada konsep Pertengahan Malaysia yang dibawa DAP – politik kesederhanaan atau wasatiyah dan inklusif. Kita ingin mengulangi Deklarasi Shah Alam yang diterima sewaktu Persidangan Kebangsaan pada Januari 2012 yang menunjukkan komitmen DAP untuk menjulang Perlembagaan Persekutuan, terutamanya:

  • Mengangkat sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja-raja Melayu
  • Mengekalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sambil mempertahankan hak sah kaum-kaum lain,
  • Mempertahan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, dan pada masa yang sama menjaga kebebasan beragama untuk agama lain
  • Menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan serta menggalakkan penggunaan dan pembelajaran Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. ·
  • Mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi saksama di dalam Persekutuan Malaysia.

Penutup

Malaysia boleh menjadi negara yang cemerlang seandainya kita memperbaharui keyakinan kita terhadap rakyat. Tidak kira betapa susah masalah yang kita hadapi, selagi mana kita mengekalkan kepercayaan terhadap kemampuan dan kebijaksanaan rakyat, rakyat akan menemukan penyelesaiannya bagi kita.

Oleh demikian, aspirasi Impian Malaysia akan terlaksana jika kerajaan tidak masuk campur dan membantutkan kreativiti di kalangan pengusaha swasta. Urus tadbir maksima adalah perlu bagi memastikan wujudnya ketenteraman awam, system kedaulatan undang-undang yang hokum mereka yang ingkar; tetapi juga tanpa campur tangan secara langsung kerajaan ataupun suatu kerajaan minima.

DAP bercita-cita untuk menjadi sebuah parti bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami ingin bersuara bagi pihak semua kaum termasuk Iban dari Sarawak dan Kadazan dari Sabah. DAP tidak bercita-cita menjadi seperti klon MCA atau Gerakan apatah lagi klon UMNO. Kemerosotan mereka dalam PRU yang baru lepas adalah petanda jelas bahawa politik berasaskan kaum tidak ada masa depan di Malaysia.

Kita telah membuktikan di Pulau Pinang dan Selangor bahawa Pakatan Rakyat boleh memelihara orang Cina lebih baik daripada MCA, menjaga orang Melayu lebih baik daripada UMNO, membantu orang India lebih baik daripada MIC. Marilah kita semua di dalam DAP bersatu padu dan buktikan bahawa kita dapat lakukan yang lebih baik daripada BN untuk kesemua rakyat Malaysia.

LIM GUAN ENG