Berita

Pemilihan semula CEC: 17 tarik diri, 2 calon letak jawatan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Ketua Pengurus pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Dr Ong Kian Ming mengumumkan bahawa semua senarai calon yang bertanding untuk 20 jawatan tertinggi parti kekal seperti mana pemilihan pada Disember 2012 yang lalu.

Bagaimana pun, terdapat 17 orang calon menarik diri dan dua meletak jawatan menjadikan bilangan yang calon yang bakal dipilih perwakilan berjumlah 47 orang berbanding 66 calon tahun lalu.

“Parti telah menerima notis dari 12 individu yang telah menarik diri dan seorang meletak jawatan sebagai calon bagi pemilihan semula CEC pada 29 September ini.

“Mereka ialah Ganabatirau A/L Veraman, Jagdeep Singh Deo, Kamache A/P Doray Rajoo, Khoo Poay Tiong, Manogaran A/L Marimuthu, Ng Chin Tsai, Ng Wei Aik, Sanisvara Nethaji Rayer A/L Rajaji, Siow Kim Leong, Soh Boon Hong, Tan Lee Koon dan Roseli bin Abdul Gani manakala Dr Hiew King Chew pula telah menghantar surat perletakan jawatan kepada parti pada semalam, 27 September,” ujar Kian Ming.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Serdang, walaupun sebahagian calon itu telah menarik diri atau meletakkan jawatan, nama mereka akan tertera pada senarai calon yang bertanding esok.

“Senarai nama 17 individu yang menarik diri dan dua yang meletak jawatan akan diumumkan esok 29 September dalam Kongres Khas DAP,” ujar beliau.

Pada Kongres DAP Kebangsaan Disember 2012 yang lalu, seramai enam orang calon menarik diri manakala seorang pula meletak jawatan.

Mereka ialah Choong Siew Onn, Er Teck Hwa, Jaya Balan A/L Valliappan, Teo Kok Seong dan Yong Wui Wui (Violet).

John Fernandez pula telah meletak jawatan dari parti pada bulan April 2013. – Roketkini.com