Berita

Pemilihan semula CEC: Ketua Pengarah ROS digesa jangan kelirukan orang ramai

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo mendesak Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman supaya memohon maaf dan meletakkan jawatan berikutan semua kenyataan yang telah menimbulkan kekeliruan berhubung isu Pemilihan Semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

“Beliau perlu berhenti mengelirukan orang ramai dan juga dirinya sendiri. Beliau tidak boleh membuat kenyataan yang tidak benar malah bertentangan dengan perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Gobind berkata, kenyataan Abdul Rahman yang berkata bahawa notis 10 minggu diperlukan untuk mengadakan Kongres Khas adalah tidak tepat kerana perlembagaan parti Fasal 8 dengan jelas menyatakan parti hanya perlu memberi notis 7 hari untuk mengadakan Kongres Khas.

“Notis pemberitahu Kongres Khas Parti handaklah dihantar kepada semua Cawangan dan Wakil tidak kurang dari tujuh hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Kongres Khas Parti dan hendaklah menyatakan perkara atau perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam Kongres itu. Sebarang tajuk lain tidak boleh dibincangkan dalam Kongres Khas Parti,” kata Gobind memetik Fasal 8 Perlembagaan Parti.

Menurut Ahli Parlimen DAP Puchong itu, lebih memalukan apabila Abdul Rahman yang tiba-tiba pula mengakui bahawa DAP boleh mengadakan pemilihan dalam Kongres Khas Parti apabila mahkamah membenarkan pemilihan semula dijalankan.

“Adalah sangat wajar, dengan segala kekeliruan dan keadaan yang telah ditimbulkan beliau, Abdul Rahman tidak layak menjadi Ketua Pengarah ROS.

“Jika beliau seorang yang berprinsip dan jujur dalam menjalankan tugasnya, beliau harus meletak jawatan dan memohon maaf terhadap semua kekeliruan dan masalah yang timbul,” katanya. – Roketkini.com