Berita

Pakatan Rakyat kecam kenyataan Zahid Hamidi halalkan pembunuhan

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER: Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengecam keras kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tindakan menembak suspek penjenayah adalah langkah paling terbaik.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata, kenyataan itu jelas membuktikan beliau memberi lesen kepada polis untuk melakukan pembunuhan.

“Zahid perlu tahu bahawa negara ini mempunyai undang-undang dan mahkamah. Beliau tidak boleh lakukan sebarang tindakan sesuka hati.

“Ini jelas salah guna kuasa,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor.

Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo pula menegaskan kenyataan terbuka itu memalukan dan pada masa sama amat membimbangkan.

“Kenyataan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Menteri dan Ahli Parlimen.

“Zahid mesti menghentikannya dan tindakan perlu diambil terhadap beliau.Perdana Menteri mesti bertindak.

“Apakah Najib merestui kelakuan seperti itu? Jika tidak, beliau harus menyatakan kepada umum dan bertindak segera terhadap Zahid,” ujarnya dalam kenyataan.

Naib Presiden PKR, N Surendran pula menyifatkan kenyataan Zahid itu tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang negara.

“Kenyataan itu tidak lebih kepada sokongan kerajaan untuk polis membunuh sewenang-wenangnya,” kata Ahli Parlimen PKR Padang Serai itu dalam kenyataannya.

Menurut Surendran, seseorang suspek yang dibunuh tanpa diberi sebarang amaran adalah bertentangan seperti yang termaktub dalam Kanun Keseksaan dan Ahmad Zahid boleh dibawa ke muka pengadilan kerana bersubahat melakukan pembunuhan.

“Menembak bertujuan membunuh suspek tanpa memberi amaran adalah salah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Zahid dan pasukan polis boleh dituduh atas dakwaan bersubahat dan berkomplot melakukan jenayah membunuh atau menyebabkan kematian tanpa niat; kesalahan ini boleh dihukum mengikut Seksyen 120A dan 107 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Timbalan Pengerusi Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Hanipa Maidin pula berkata, adalah amat malang bagi rakyat negara ini apabila mempunyai seorang menteri yang bersikap ala mafia seperti Ahmad Zahid.

“Apa guna undang-undang dan mahkamah jika menteri bercakap sedemikian, tak semua mereka ditahan itu bersalah.

“Setiap kesalahan perlu dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu barulah hukuman dijatuhkan, ini tidak, terus nak tembak.

“Bagi saya setiap apa yang Zahid katakan itu tidak memcerminkan ucapan seorang menteri dan amat malang bagi negara kerana mempunyai menteri sedemikian,” kecamnya.-Roketkini.com