Rencana

PCA untuk Penguasa Cekup Aje – Oleh Edry Faizal

AWAL tahun ini, tiba-tiba rakyat mendapati lambakan kes jenayah tembak di dada akhbar. Laporan demi laporan menjadikan purata seminggu ada satu kes tembakan. Daripada individu berstatus pegawai sehinggalah cikgu sekolah pun ditembak. Seolah-olah Malaysia sudah terjerumus ke dalam dunia koboi. Rakyat menjadi cemas. Slogan “Syukurlah Malaysia masih aman” telah menjadi ayat sinis di kalangan rakyat yang mula merasakan ironinya.

Terdapat sekelompok kecil mula bertanya, di saat setiap berita arus perdana itu sentiasa mengikut rentak pemerintah, mengapa berita jenayah tembak menembak turut dijadikan isu hangat, bukankah ini merugikan pemerintah? Apakah ada udang di sebalik batu, apakah ini satu usaha mengolah persetujuan umum?

Seperti dijangka, dalam keributan rasa bimbang rakyat itu tiba-tiba keluar pak Menteri Dalam Negeri mengaitkan jenayah tembak yang semakin menjadi-jadi itu dengan pemansuhan Ordinan Darurat (EO). EO bersama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan oleh pemerintahan Datuk Seri Najib Razak pada 2011 bagi tujuan mempamerkan kononnya wujud transformasi dalam kerajaannya.

Parlimen_BerjerebuBagaimanapun baru-baru ini apabila Najib Razak yang sama turut mengundi untuk meluluskan satu lagi undang-undang “penahanan tanpa dibicarakan”. Bolehlah rakyat simpulkan bahawa pemansuhan Ordinan Darurat dahulu bukanlah kerana Najib Razak merasakan kezaliman menahan tanpa dibicara. Tetapi hanya satu lagi gimik transformasi dalam perjalanan menuju Pilihan Raya Umum ke-13 yang ketika itu tidak diketahui entah bila munculnya.

Statistik polis sendiri jelas menunjukkan jenayah menurun pada 2012, yakni selepas mansuhnya ISA dan EO. Merujuk kepada indeks jenayah yang dikeluarkan pihak polis, kadar jenayah pada 2012 adalah yang terendah sepanjang satu dekad dengan penurunan sebanyak 7.6 peratus berbanding 2011. Lebih aneh, kadar jenayah meningkat lebih tinggi bagi tempoh 2003 hingga 2008, sewaktu ISA dan EO masih wujud. Dengan fakta ini, sama ada pak Menteri atau pihak polis, salah satunya pasti berbohong!

Namun pemerintah terus menutup sebelah mata terhadap fakta tadi dan berkeras mahukan satu akta penahanan tanpa dibicarakan diwujudkan kembali. Seolah-olah seperti suatu projek yang sudah dimulakan gerak kerjanya sejak awal tahun, kemuncaknya adalah pada sidang Parlimen pada akhir September. Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah 2013 (Pindaan dan Pemerluasan) diluluskan menyaksikan undang-undang penahanan tanpa dibicarakan bangkit daripada kubur dengan jasad baru bernama PCA (Akta Pencegahan Jenayah) .

Gugurnya “tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah”

Yang gugur kecundang sekarang bukanlah polis atau penjenayah, tetapi prinsip penting di dalam perundangan, “tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah”. Malah boleh dikatakan pertembungan di Parlimen antara yang menyokong dan menolak PCA adalah pertembungan antara prinsip itu dan pemikiran bahawa perbicaraan adil itu tidak penting. Berdebatlah sampai serak ayam berkokok, mereka yang menyokong penahanan tanpa dibicarakan tentu tidak akan langsung berkompromi. Parlimen menjadi saksinya.

zahidPerkara itu semakin terserlah melalui kenyataan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi yang mengepalai usaha menghidupkan kembali undang-undang penahanan tanpa dibicarakan. Zahid Hamidi telah berkali-kali bermain sentimen seolah-olah penahanan tanpa dibicarakan itu demi menjaga hak mangsa jenayah yang kononnya diabaikan pejuang hak asasi manusia. Satu petanda jelas bahawa dia sudah pun menghukum bersalah ke atas sesiapa saja yang dirasakan bersalah tanpa perlu perbicaraan yang adil.

Ternyata bagi Zahid Hamidi dan barangkali semua Ahli Parlimen Barisan Nasional, penguasa mempunyai kuasa mutlak menentukan salah atau tidak seseorang itu, bukan melalui jalan perbicaraan. Ini dikuatkan lagi dengan rakaman ucapan Zahid Hamidi yang menggemparkan apabila dia berkata, “cara paling baik jangan ada kompromi dengan mereka. Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu.”

Sebab itulah Barisan Nasional tiada rasa bersalah untuk merampas kebebasan seseorang selama dua tahun tanpa diberi peluang dibicarakan sama ada orang itu bersalah atau tidak. Lihat saja Pak Menterinya lebih dasyat, bukan sekadar mahukan penahanan, kalau boleh mahu ditembak dulu!

Kebebasan dan hilang hak bebas

Setiap warga negara tercinta ini berhak hidup bebas. Namun sistem negara ini telah menetapkan kebebasan tersebut boleh dirampas negara sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan tertentu, demi kepentingan awam. Terdapat pelbagai mekanisme untuk memastikan tidak sewenang-wenangnya kebebasan itu dirampas daripada mana-mana warga, lebih-lebih lagi untuk tempoh bertahun lamanya.

john_adamsJika kita bersetuju hanya yang bersalah berhak dirampas hak kebebasannya, siapa penentu seseorang itu bersalah melanggar undang-undang atau tidak? Dengan cara apa seseorang itu boleh disabitkan bersalah? Di sinilah peranan perbicaraan. Di dalam sistem perundangan jenayah negara ini, terdapat tanggapan tidak bersalah. Yakni seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dia disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah. Maka pendakwa mesti membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh (di mahkamah) merupakan orang yang melakukan jenayah dan bukannya orang lain.

Mereka yang mempunyai kuasa dan senjata di tangan mungkin merasakan itu semua perkara leceh, elok ditembak saja dulu, lebih jimat. Atau dipasung saja mereka dua tahun tanpa sabitan jitu sama ada tertuduh bersalah atau tidak.

Tetapi bagaimana kalau seorang insan tidak bersalah berada di tempat tertuduh? Di sinilah persimpangan moral sebenar. Apakah kita rela bertindak ke atas sesiapa saja termasuk insan yang tidak bersalah, atau kita lebih rela yang bersalah terlepas berbanding tersalah hukum dan menganiayai orang yang tidak bersalah?

John Adams sewaktu perbicaraan kes Pembunuhan Beramai-Ramai Boston pernah berhujah, “Adalah lebih penting untuk sesebuah masyarakat, melindungi mereka yang tidak bersalah, berbanding menghukum mereka yang bersalah…apabila mereka yang tidak bersalah, dibawa ke muka pengadilan dan dihukum, terutamanya hukuman mati, dia akan membentak, ‘tidak penting bagiku berkelakuan baik atau buruk; kebaikan itu sendiri tidak menjamin keselamatan’. Dan sekiranya sentimen sebegini mengambil tempat di dalam fikiran insan tidak bersalah itu, berakhirlah segala apa bentuk keselamatan.”