Berita

Gagal bertindak ke atas Zahid Hamidi, Ali Rustam bukti konsep 1Malaysia PM sudah mati: Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER: Kegagalan bertindak terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana kenyataan berbaur perkauman terhadap orang bukan Melayu bukan sahaja membuktikan konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sudah mati.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, UMNO tidak akan meminta maaf di atas sifatnya yang korup serta menyebarkan penipuan bagi memburukkan pihak lawan.

Katanya, pada tahap di mana pemimpin UMNO kelihatan mengabaikan impian negara Malaysia dan menyebarkan kebencian kaum, UMNO pada masa akan datang tidak akan ada bezanya dengan tentera Nazi yang memperjuangkan keturunan dan ketuanan perkauman.

“DAP tidak terkejut dengan sikap kebencian kaum yang diperlihatkan oleh pemimpin UMNO yang ternyata korup seperti bekas Ketua Menteri Melaka, yang sebelum ini tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan UMNO kerana terbabit dengan rasuah politik.

“Ali Rustam terus menyalahkan pengundi Cina di atas kekalahannya yang mengejutkan di kerusi Parlimen Bukit Katil dengan marjin yang begitu besar pada PRU ke-13, walaupun pengundi Melayu di sana adalah majoriti seramai 53%.

“Kalau pun semua pengundi Cina tidak mengundi Ali Rustam, beliau akan tetap menang seandainya beliau tidak kehilangan sejumlah besar undi orang Melayu. Namun Ali Rustam dengan mudah menyalahkan masyarakat Cina bagi menyembunyikan hakikat sebenar kekalahannya kepada Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar adalah kerana aktiviti rasuahnya dan salah guna kuasa untuk membuli penduduk Melaka sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

lge 2Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bagi Zahid Hamidi pula, tidak ada sebarang keperluan bagi beliau untuk membuat kenyataan berbaur perkauman dan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu apabila beliau sudah pun terkedepan dalam senarai calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan Oktober ini.

Menurutnya, beginikah perangai bakal Timbalan Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri, membuat provokasi yang begitu mengejutkan, cuai, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima langsung apabila menganggap pertubuhan gelap Tiga Line sebagai kawan dan menggalakkan mereka melakukan ‘apa yang perlu dilakukan’ berbanding mengambil tindakan terhadap mereka.

Beliau berkata, Zahid Hamidi juga mengancam wartawan yang hadir bahawa beliau akan menutup operasi akhbar jika kenyataannya dilaporkan serta mengabaikan hakikat bahawa orang bukan Melayu juga turut menjadi mangsa jenayah.

“Daripada 14,511 anggota kongsi gelap, 6,171 daripadanya Melayu, 1,701 Cina, 3,685 India sementara 2,954 adalah keturunan lain; namun begitu orang Melayu selalu menjadi mangsa. Pengedar dadah terbesar adalah orang Cina, yang kecil sedikit India dan penggunanya orang Melayu. Dalam judi internet, bosnya Cina, operatornya India dan pelanggannya Melayu… “Oleh itu mangsanya adalah orang Melayu”

“Zahid Hamidi juga menafikan proses undang-undang dengan menyuruh supaya menembak penjenayah terlebih dahulu jika polis ada bukti,” tambahnya.

Guan Eng berkata, setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama adalah mangsa jenayah dan dengan menyebut bahawa hanya orang Melayu yang menjadi mangsa, adakah orang bukan Melayu yang menjadi mangsa sekadar tidak kelihatan atau patut hilang sahaja tanpa dilindungi daripada jenayah terhadap mereka.

“Susah untuk saya percaya bahawa Menteri Dalam Negeri yang diamanah untuk mendaulatkan undang-undang boleh dengan begitu bersahaja membuat kenyataan menghasut, menggalakkan kehidupan tanpa hormat kepada undang-undang dan gangguan awam.

“Kegagalan Perdana Menteri bertindak menyangkal kenyataan mereka dan menghukum tindakan perkauman dan kebencian mereka hanya akan memecahbelahkan Malaysia menjadi dua negara dengan double standard – satu negara dengan standard untuk orang UMNO, dan satu lagi untuk orang bukan UMNO yang tidak berhak mendapat perlindungan undang-undang yang saksama atau hak yang dijamin perlembagaan sebagai warganegara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, DAP menyeru semua rakyat Malaysia menyatakan pendirian terhadap UMNO dan menolak usaha memecahbelahkan, diskriminasi dan penghancuran maruah dengan menunjukkan kepada UMNO bahawa kita semua ayah, emak, abang dan adik adalah warga Malaysia.-Roketkini.com