Berita

DAP ajak rakyat Malaysia kukuhkan sokongan terhadap Impian Malaysia, tolak sentimen perkauman: Kit Siang

KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER: DAP kesal kerana pemilihan parti UMNO menggoncang negara dengan kenyataan perkauman dan hasutan oleh calon yang bertanding pada pemilihan itu berlawanan dengan peringatan bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam supaya calon UMNO tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, dua ahli politik UMNO yang secara terang-terangan dan tidak bertanggungjawab menggunakan helah perkauman tanpa mempedulikan kesan buruk yang mereka lakukan terhadap usaha pembinaan negara yang berjalan selama 56 tahun.

Katanya, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membangkit isu perkauman dalam kempen mereka untuk merebut kerusi Naib Presiden UMNO pada 19 Oktober nanti.

“Mereka sering menunjukkan keMelayuan, sesetengah pihak menjadi anti-kelompok lain atau menuduh kaum lain bersikap anti-Melayu. Hanya dengan berbuat demikian mereka menjadi hero. Keadaan tidak sepatutnya begini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah meminta rakyat Malaysia mengukuhkan sokongan terhadap Impian Malaysia yang tidak anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, atau anti-Dayak, sebaliknya pro-semua warga Malaysia.

Beliau berkata, Ali Rustam terus-terusan menghentam kaum Cina dan menyalahkan pengundi Cina terhadap kekalahannya di kawasan majoriti Melayu Parlimen Bukit Katil, Melaka, tanpa menghiraukan hakikat bahawa beliau tidak mungkin kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu jika tidak kerana turut hilang sokongan pengundi Melayu di kawasan Parlimennya sendiri.

“Apakah Ali Rustam sekali lagi akan menyalahkan kaum Cina jika beliau kalah dalam pemilihan Naib Presiden UMNO pada Sabtu nanti.

“Bebelan perkauman Ahmad Zahid yang mengapi-apikan dan menghasut adalah lebih serius kerana ia menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Jika Ketua Polis Negara melanggar undang-undang, Menteri Dalam Negeri dengan sokongan Perdana Menteri boleh melaksanakan tindakan terhadap anggota polis nombor 1 dalam negara ini. Perkara sebegini pernah dilakukan apabila Tun Dr Mahathir menyalahgunakan kuasanya dan melaksanakan tindakan yang terbukti bertentangan dengan perlembagaan apabila memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, pada 1998,” katanya.

Beliau berkata, jika Menteri Dalam Negeri melakukan jenayah, apa yang boleh dilakukan Ketua Polis Negara sebagai pegawai tertinggi polis untuk memelihara undang-undang dan ketertiban dalam negara ini jika beliau tidak mendapat sokongan Perdana Menteri dan Peguam Negara.

“Inilah persoalan yang diajukan rakyat Malaysia setelah Zahid membuat ucapan kontroversi dalam “taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat” di Melaka, Sabtu lalu, bahawa polis mengamalkan dasar “tembak dulu” dalam menangani pihak yang disyaki penjenayah.

“Ali dan Zahid adalah contoh terburuk bagi perkara yang diingatkan Musa kepada calon UMNO, iaitu agar mereka tidak cuba menjadi “hero” Melayu dengan menunjukkan sikap “anti-kelompok lain atau menuduh kaum lain bersikap anti-Melayu,” ujarnya.

Menurut kit Siang, tindakan mereka sama sekali bertentangan dengan dasar 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau sendiri tidak lagi menyebut tentang dasar ini sejak lima bulan lalu, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Katanya, sesuatu yang amat dikesali apabila sejak lima bulan selepas PRU-13 yang digerakkan bukannya usaha menyatukan semua rakyat Malaysia di sebalik Impian Malaysia, sebaliknya pembohongan dan pendustaan perkauman semakin ditingkatkan untuk melebarkan jurang perkauman dan keagamaan dalam negara daripada pembohongan yang disebarkan sebelum pilihan raya umum mengenai penyertaan beliau dalam di Gelang Patah yang kononnya untuk menimbulkan ketegangan antara kaum Cina dan Melayu sehingga selepas keputusan PRU-13 yang menyebut kononnya DAP mahu kaum Cina yang menguasai ekonomi untuk turut menguasai politik Malaysia.

“Sebelum, ketika dan selepas PRU-13, DAP mengemukakan Impian Malaysia yang telah saya perjelaskan pada 8 April lalu sebagai keinginan untuk mewujudkan “sebuah masyarakat majmuk yang anggotanya bersatu sebagai satu bangsa yang diikat oleh satu kewaganegaraan, melampaui perbezaan suku kaum, agama, budaya, dan bahasa” dengan rakyatnya “memberikan kesetiaan tidak berbelah-bagi kepada negara untuk membangunkan sebuah negara yang hebat bersandarkan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang telah lama bertapak di negara ini, agar Malaysia menjadi negara terulung di dunia dalam semua bidang kegiatan manusia.

“Pada masa ini, ketika ahli politik UMNO secara tidak bertanggungjawab memainkan isu perkauman, semakin penting untuk rakyat Malaysia menolak sikap perkauman dan keagamaan yang ekstrem serta tidak bertolak-ansur serta mengukuhkan sokongan terhadap Impian Malaysia,” katanya. – Roketkini.com