Berita

Zahid Hamid, Ahmad Shabery dicabar minta maaf kepada rakyat terhadap pembohongan mereka

KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER: Menteri UMNO dicabar meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia apabila Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan pembohongan mereka kononnya bayaran RM1.6 juta untuk membawa arti K-Pop dibiaya penuh oleh penaja.

Selain itu, mereka juga berbohong bahawa kononnya pihak polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit mengenai kehilangan peralatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia lebih yakin Ketua Audit Negara bercakap benar manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Menteri Belia dan Sukan (kini Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berbohong.

“Kedua-dua menteri UMNO ini patut meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia setelah Ketua Audit Negara mendedahkan pembohongan mereka mengenai bayaran RM1.6 juta untuk membawa masuk arti K-Pop dan dakwaan pihak polis sudah memberi penjelasan mengenai kehilangan peralatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.

“Ambrin menegaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak polis mengenai kehilangan peralatan, termasuk 44 senjata api, 29 kenderaan, 26 walkie talkie, 22 radio dan peralatan lain berjumlah RM1.3 juta.

LGE“Setakat ini orang awam hanya dimaklumkan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bahawa senjata api yang hilang itu berkemungkinan jatuh ke dalam laut, walaupun tidak ada laporan polis dibuat mengenai kehilangan itu.
Adakah 29 kenderaan polis itu juga turut hilang ke laut?,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau juga hairan bagaimana Ahmad Shabery sanggup berbohong bahawa ada pihak swasta yang menaja RM1.6 juta yang dibayar Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa tiga kumpulan K-Pop untuk sambutan Hari Belia sedangkan Ketua Audit Negara memberitahu pegawai kementerian pun tidak menafikan bahawa wang itu datang daripada peruntukan kerajaan.

Menurutnya, jelas sekali bahawa kedua-dua menteri mesti segera meminta maaf; jika tidak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mestil bertindak sekiranya beliau mahu mengekalkan sebarang sisa keyakinan awam terhadap kejujuran, kemahiran dan profesionalisme menterinya.

Beliau berkata, kegagalan dan salah laku kewangan yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyerlahkan pelanggaran kepatuhan berbentuk jenayah dalam lima prinsip asas yang diperlukan dalam menguruskan dana awam iaitu keperluan akauntabiliti awam, ketelusan, nilai ringgit, persaingan secara terbuka dan adil serta transaksi yang adil.

“Kegagalan dan salah laku kewangan dalam urusan kerajaan adalah amat kritikal terhadap ekonomi negara kerana perolehan daripada segi barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun membentuk 25% daripada kadar nominal KDNK berbanding ekonomi negara maju lain di mana perolehan tahunannya hanya 12% daripada KDNK.

“Ketirisan, pembaziran dan salah laku kewangan ini memberi kesan buruk terhadap kadar pertumbuhan ekonomi. Dengan kata lain, Malaysia rugi dua kali ganda berbanding negara maju dalam hal rasuah atau pembaziran dana awam.

“Pemimpin BN tidak patut menafikan hakikat ini tetapi mengambil langkah menangani kelemahan yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara iaitu
pelan pemerolehan yang tidak mencukupi dan penyusunan spesifikasi yang lemah, penggunaan tender terbuka yang tidak mencukupi, kegagalan untuk menyatakan belanjawan maksimum dan kurangnya pemantauan dan penilaian,” katanya.-Roketkini.com