Berita

ASB2 hanya untungkan kapitalis, elit UMNO – Zairil Khir Johari

BUKIT BENDERA, 9 OKTOBER: Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dengan 10 bilion unit saham yang dilancarkan di bawah Pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PPEB) baru-baru ini hanya akan menguntungkan golongan elit dan pemimpin atasan UMNO semata-mata.

zairil (1)Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata ia jauh berbeza dengan majoriti Bumiputera yang purata pelaburan mereka hanya RM611.

Dalam laporan tahunan Permodalan Nasional Berhad (PNB), purata jumlah pelaburan oleh Bumiputera ialah sebanyak RM14,097 mencerminkan ramai golongan itu mempunyai simpanan yang baik.

“Bila jumlah ini disemak dan diteliti, rupa-rupanya tiga suku pemegang saham unit Bumiputera hanya berpurata RM611 seorang. Hanya mereka yang berada di atas mampu melabur dengan banyak dalam saham ini.

“Adakah Bumiputera biasa akan terbela dengan ASB2 ini atau PPEB kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB) jelas yang dapat banyak kebaikan bukan Bumiputera biasa tapi golongan elit dan kapitalis UMNO,” katanya.

Beliau berkata, kemunculan PPEB ini juga tidak akan mengurangkan jurang kaya dan miskin dalam negara ini.

“Ini berbeza dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang sebelum ini diumumkan Najib untuk memberi fokus kepada 40 peratus isi rumah berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

“Jika Najib benar-benar laksanakan MEB, jurang miskin dan kaya akan dapat dirapatkan.

“Tetapi, PPEB hanya akan melebarkan lagi jurang antara golongan miskin, rakyat biasa dan elit, janji beliau sebelum ini hanya manis dibibir,” ujar beliau.-Roketkini.com