Berita

Menteri, Ketua Polis Negara usah angkuh, laksana tanggungjawab anda – MP Sandakan

SANDAKAN,9 OKTOBER: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa memohon maaf dan tidak berdolak-dalik dan mengeluarkan kenyataan angkuh mengenai kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk senjata api, gari dan kereta.

Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt, berkata, Ketua Polis Negara seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab apabila memberi alasan ‘mengarut’ dan lucu berhubung kehilangan aset pasukan keselamatan itu.

“Alasan beliau senjata api mungkin terjatuh ke dalam laut hanya menjadi bahan jenaka,” ujarnya.

Malahan, katanya, sikap angkuh Zahid Hamidi yang sepatutnya bertanggungjawab menangani perkara ini juga amat dikesali.

“Siapa pun mereka, mereka tetap penjawat awam yang mempunyai tanggungjawab berkhidmat untuk negara dan bukan menjadi ancaman kepada semua.

“Berhentilah membuat kenyataan angkuh dan jadilah manusia bermoral,” kata Stephen Wong.

Beliau merujuk kepada tindakan Zahid apabila memberi amaran menakut-nakutkan kepada wartawan supaya tidak membangkitkan perkara itu.

“Ini adalah sikap seorang menteri yang kita tidak boleh terima. Ia mengecewakan.

“Tidak kira apa pun jawatannya, beliau sepatutnya profesional, menerima segala kelemahan dan kesalahan yang berlaku demi penambahbaikan,” katanya.-Roketkini.com