Berita

“Bunuh tanpa bicara?”, DAP buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER: Satu laporan polis dibuat terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan kontroversi beliau berhubung isu ‘tembak dulu’ dan ‘samseng kenduri-kendara’.

lim lip engAhli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan itu di Balai Polis Jinjang itu antara lain menggesa satu siasatan dilakukan ke atas Ahmad Zahid.

“Kenyataan beliau itu seolah-olah menghalalkan pembunuhan tanpa dihakimi dan kami pertikaikan mengapa beliau seperti membela geng Tiga Line sedangkan ia diisytiharkan sebuah kumpulan haram,” jelasnya yang menyifatkan Zahid hamidi telah melanggar peruntukan dalam Kanun Keseksaan.

Laporan media pada Sabtu lalu memetik Naib Presiden UMNO itu membuat kenyataan yang mengejutkan ramai pihak apabila berkata “Jangan ada lagi amaran kepada mereka (penjenayah), kita dapat bukti kita tembak dulu”.

Beliau juga menyatakan bahawa kumpulan kongsi gelap dan gangster Tiga Line, Geng 30 dan Geng 7 bukanlah samseng sebenar tetapi hanya samseng kenduri-kendara dalam satu majlis bersama pemimpin tempatan di Ayer Keroh, Melaka.-Roketkini.com