Berita

DAP gesa Zahid Hamidi iktiraf, selesai segera masalah penduduk bukan warga negara

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya melonggarkan sekatan terhadap penduduk bukan warga negara (stateless people) dan membantu mereka dengan cara sepatutnya.

Beliau berkata, berdasarkan prinsip kemanusiaan, kanak-kanak bukan warga ini yang ibu bapa mereka secara biologi atau dijaga oleh seorang warga negara perlu diberi taraf kewarganegaraan.

“Zahid harus bertimbang rasa dan menyelesaikan permasalahan ini. Jika beratus ribu pendatang tanpa izin boleh diberikan Kad Pengenalan (IC) di Sabah menerusi projek IC, jadi tidak ada sebab mengapa kerajaan tidak boleh memberi kelonggaran kepada kanak-kanak bukan warga negara itu memperoleh kerakyatan Malaysia.

“Pujian harus diberi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berusaha membantu masyarakat tanpa kerakyatan di negeri itu. Sejak Program Bukan Warga Negara ditubuhkan, Februari lalu, Kerajaan Pulau Pinang berjaya membantu 265 individu memohon untuk dokumentasi betul termasuk sijil kelahiran, kad pengenalan dan kerakyatan.

“Akan tetapi, kita juga perlu kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan nasib mereka,” katanya dalam kenyataan.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menyatakan, melalui jawapan bertulis Parlimen daripada Menteri Dalam Negeri bertarikh 11 Mac 2009, terdapat 32,440 tanpa kerakyatan.

Dalam satu lagi jawapan bertulis Parlimen pada 5 November 2009, Menteri Dalam Negeri turut menyebut sejumlah 374,500 pemegang kad merah dalam negara.

“Namun apabila saya membangkitkan soalan sama di Parlimen pada 24 September lalu, Zahid mendakwa JPN tidak menyimpan rekod bilangan orang tanpa kerakyatan dalam negara.

“Perubahan secara tiba-tiba ini menjadikan kita tertanya-tanya jika ia sebenarnya adalah usaha untuk menutup kes yang semakin serius ini,” tegasnya.

Menurutnya, Perkara 7 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) jelas memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak hendaklah mendapat perakuan kewarganegaraan sewajarnya.

“Perkara 7 (1) jelas menyatakan kanak-kanak hendaklah didaftarkan sebaiknya selepas dilahirkan dan harus mempunyai hak sejak lahir, mempunyai hak terhadap suatu nama, hak memperoleh kerakyatan dan seboleh-bolehnya hak untuk mengetahui dan dijaga oleh ibu bapa mereka.

“Perkara 7 (2) pula menyebut Negara Pihak hendaklah memastikan pelaksanaan hak ini mengikut undang-undang negara mereka dan obligasi mengikut surat cara antarabangsa yang berkaitan dalam bidang ini, terutama jika kanak-kanak itu tanpa kewarganegaraan.

“Malaysia telah menerima CRC pada 17 Februari 1995, namun gagal melaksanakan Perkara 7 CRC yang menyebabkan ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan menghadapi pelbagai masalah seperti mendapatkan pendidikan, mencari pekerjaan dan membentuk sebuah keluarga untuk masa hadapan,” kujarnya. -Roketkini.com