Berita

Perbadanan Johor, DASB diminta jelas peningkatan kos ubahsuai Plaza Kotaraya sebanyak 117 peratus

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER: Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati kos pembangunan projek ubahsuai Plaza Kotaraya yang dilaksanakan syarikat milik penuh Perbadanan Johor, Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) meningkat 117 peratus iaitu sebanyak RM22.7 juta berbanding kos asal hanya RM19 juta.

Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, bagi melaksanakan projek berkenaan, DASB melantik syarikat Energy Retail Sdn Bhd (ERSB) sebagai ‘retail consultant’.

Katanya, DASB adalah berperanan sebagai peneraju Bahagian Hartanah Komersil Perbadanan Johor untuk mengurus dan membangun hartanah kekal milik kerajaan negeri kepada lokasi yang menarik dan mendatangkan keuntungan.

Projek ubahsuai itu adalah untuk memberi imej baru kepada Plaza Kotaraya dan menamakannya “Galleria@Kotaraya” supaya ia dapat menjadi ikon butik yang moden dan bergaya.

Anggaran kos asal yang telah diluluskan Lembaga Pengarah DASB pada Disember 2010 adalah sebanyak RM19 juta tetapi melebihi bajet sehingga meningkat kepada RM41.27 juta.

Menurut Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai, akibat peningkatan kos itu, DASB terpaksa mencari sumber pembiayaan lain, antaranya menjual tanah Perbadanan Johor kepada sebuah institusi kewangan sebanyak RM11.7 juta dan pinjaman bank sebanyak RM8 juta.

“DASB juga bercadang menjual tanah miliknya dan hasil jualan lot pejabat Projek Kempas Town Centre turut dijadikan sumber pembiayaan projek ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ini menunjukkan DASB gagal dalam membuat perancangan kewangan yang sewajarnya.

Selain itu, katanya, semakan Audit turut mendapati tunggakan sewa bagi bangunan milik DASB sejumlah RM4.87 juta daripada tahun 2010 sehingga Ogos 2012 menyebabkan peningkatan hutang lapuk dan liabiliti DASB.

“Statistik di atas menunjukkan kegagalan Perbadanan Johor dan DASB dalam mengendalikan projek dan hartanah negeri Johor untuk mendatangkan manfaat yang paling besar kepada anak Johor.

“Perbadanan Johor atau DASB harus memberi penjelasan terhadap peningkatan kos yang sebanyak 117% dalam Projek Ubahsuai Plaza Kotaraya dan tunggakan sewa bangunan DASB.

“Mereka juga harus memperkemaskan dan meningkatkan tadbir urus korporat supaya sumber kewangan negeri Johor tidak disalahgunakan untuk menanggung ketidakcekapan mereka dalam pengurusan hartanah negeri,” ujarnya.-Roketkini.com