Berita

Penjawat awam perlu ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’: Ketua Audit Negara

SHAH ALAM, 11 OKTOBER: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menganggap Laporan Ketua Audit negara seperi lagu 60-an, yang diulang-ulang menggesa agar semua penjawat awam mengambil berat terhadap amanah menguruskan wang rakyat.

“Kami mahu terutamanya ketua jabatan mengambil perhatian terhadap laporan yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara membabitkan isu akauntabiliti dan ketelusan,” katanya pada Wacana Sinar, di Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, penjawat awam mesti “membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul” serta membudayakan perkara itu.

“Saya bercakap mengenai kepedulian dalam perkhidmatan. Anda perlu peduli dengan wang rakyat. Buat kerja dengan teliti, penuh keinsafan bahawa kita pegang amanah rakyat. Peranan kita (audit) supaya mereka sedar, biasanya mereka tidak sedar, ambillah tindakan,” ujarnya.

Ambrin juga mengingatkan bahawa satu kepimpinan yang efektif diperlukan untuk mencapai sesebuah pentadbiran dan perkhidmatan yang efektif dan telus.

“Saya ingat, kalau ramai ketua jabatan ambil sikap betulkan yang biasa, selepas ditegur, disedarkan audit, budayakan yang betul itu,” katanya.

IMG_1956Mengenai kelewatan kerja yang sering berlaku dalam menyiapkan sesuatu projek, Ambrin mengenalpasti dua kelemahan ketara dalam perkhidmatan awam iaitu masalah 2C (comunication dan coordination).

“Saya lihat satu daripada kelemahan dalam perkhidmatan awam ialah masalah 2C di kalangan jabatan kerajaan dan agensinya.

“Dalam sesuatu projek misalnya, kelewatan timbul akibat proses membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah. Jadi ini kena perbaiki. Projek kerajaan adalah projek rakyat,” katanya lagi.

Wacana itu dimoderatorkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, manakala ahli panel terdiri daripada Ambrin, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.-Roketkini.com