Berita

Mungkinkah wujud Malaysia jika isu kalimah Allah bangkit 50 tahun lalu?

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER: Mungkinkah Malaysia yang kita kenal sekarang, yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak tidak akan wujud jika keputusan tentang penggunaan kalimah Allah itu dibuat sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia?

Demikian persoalan yang dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dengan menegaskan bahawa pembentukan Persekutuan Malaysia 50 tahun dahulu adalah hasil dari 18 perjanjian bersama Sarawak dan 20 perjanjian dengan Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara yang menjamin kebebasan beragama.

“Perkara pertama daripada 18 dan 20 isi kandungan perjanjian Sarawak dan Sabah memberi penekanan mengenai kebebasan beragama yang mesti dikekalkan. Ia merupakan salah satu tuntutan minimum bagi pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Bagaimanakah rakyat Sabah dan Sarawak akan memberi reaksi terhadap keputusan menegah penggunaan kalimah “Allah” dalam Herald lebih-lebih lagi apabila keputusan itu menyebut bahawa penggunaan nama Allah bukan merupakan satu bahagian penting daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Sambil melahirkan rasa gusar tentang masa depan Malaysia, Ahli Parlimen DAP Gelang Patah itu turut memetik Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 yang mana Pengerusi dan anggota-anggota suruhanjaya berpandangan bahawa satu peruntukan kebebasan beragama perlu diwujudkan dalam perlembagaan Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah bahawa anggota-anggota Suruhanjaya dari Malaya, iaitu Ghazali Shafie dan Wong Pow Nee telah bersetuju bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, status berkenaan “sama sekali tidak menjejaskan kebebasan beragama dalam Persekutuan yang akan terus bersifat sekular.”

lks“Adakah pengasas Malaya, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. T. Sambanthan dan juga pemimpin-pemimpin utama Sarawak dan Sabah antaranya Temenggung Jugah, Ong Kee Hui dan Donald Stephens akan bersetuju dengan asas bagi tindakan yang dikenakan terhadap akhbar The Herald berkenaan penggunaan kalimah “Allah” oleh Kementerian Dalam Negeri?

“Tidakkah mereka akan melihat tindakan itu sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memelihara kebebasan beragama bukan saja di Sabah dan Sarawak, malah juga bagi seluruh Malaysia?,” soalnya lagi.

Menegaskan kenyataannya, Kit Siang berpandangan bahawa semua persoalan yang dibangkitkan ini perlu diberi perhatian bagi menyingkap sejauh mana keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah memberi kesan terhadap hak keperlembagaan rakyat Malaysia.

“Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia menunjukkan sikap tanggungjawab dan kepimpinan bagi menyatukan semua warga Malaysia tanpa mengira latar kaum, agama, atau kedaerahan secara harmoni dan bersatu-padu, bukannya terus memecah-belahkan masyarakat,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, dalam polemik dan kegemparan negara dilanda isu kalimah Allah ini, ulama dan cendekiawan Islam Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata bahawa penggunaan perkataan Allah oleh masyarakat Kristian di tanah Arab tidak langsung menjadi isu sejak awal zaman pengembangan Islam.

“Sejak seribu tahun lalu, sejak zaman Nabi Muhammad lagi mereka menggunakan perkataan Allah,” kata beliau.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Dr Maszlee Malik pula, sudah tiba masanya golongan akademik pelbagai latar agama agar memperbanyakkan lagi dialog antara agama dalam membentuk persefahaman masyarakat.

“Mereka perlu mencorakkan wacana baru yang lebih harmoni berkaitan hubungan agama dan kaum dan mengambil alih dari wacana konfrantasi yang kini dimanipulasi oleh golongan politik, ekstrimis dan radikal kaum dari pelbagai agama dan bangsa yang mempunyai agenda masing-masing,” katanya memetik laporan media. – Roketkini.com