SEJAK negara merdeka, keberagaman budaya dan agama tidak pernah menjadikan masyarakat kita berpecah-belah malah menjadi kebanggaan semua.
Bagaimanapun, dengan ledakan fahaman ekstrisme bangsa dan agama yang didokong kelompok pelampau, nilai toleransi dan persefahaman semakin terhakis. Tambah menyedihkan, agama sering menjadi alat politik demi meraih simpati dan sokongan.
Isu penyembelihan lembu korban di sebuah sekolah yang menjadi kontroversi seperti dilaporkan media baru-baru ini membuktikan persefahaman dan sikap toleransi agama semakin pudar.
Ibadah korban yang menjadi tradisi umat Islam ketika menyambut Aidiladha tidak pernah dipersoal masyarakat bukan Islam selama ini. Di seluruh negara, masjid, surau malah di perkarangan rumah sudah menjadi tempat lazim melakukan ibadah korban ini.
Bagaimanapun, bila ia dilakukan di tempat yang salah, wujudlah keadaan kurang senang dan tidak selesa. Dalam erti kata lain, toleransi terhadap kepelbagaian agama telah melangkaui daerah terlarang.
“Adakah pihak guru besar jahil bahawa lembu merupakan haiwan yang dimuliakan oleh penganut Hindu? Jika memang jahil, beliau tidak layak berada di dalam profesyen perguruan.”
Ahli parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran dalam kenyataan medianya membidas tindakan pihak sekolah berhubung perkara itu.
Katanya, Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama dan dalam konteks itu, sensitiviti agama haruslah dihormati.
“Kementerian Pelajaran perlu mengambil tindakan tegas terhadap sekolah kerana gagal untuk menghormati sensitiviti orang bukan Islam,” tambahnya lagi.
Umat non-muslim tidak ganggu proses Islamisasi pun
Sejak proses Islamisasi berlangsung seawal akhir tahun 80-an membabitkan penerapan nilai Islam dalam pentadbiran awam. Kita tidak pernah mendengar guru atau pelajar bukan Islam merungut apabila banyak sekolah menganjurkan ceramah agama sempena Maal Hijrah atau Maulidurrasul.
Kita juga tidak pernah mendengar rungutan warga sekolah non-muslim terhadap penganjuran pertandingan tilawah al-Quran atau pertandingan nasyid, majlis solat hajat dan bacaan surah Yaasin walaupun kebiasaannya ia akan membabitkan perbelanjaan peruntukan sekolah.
Malahan, kewujudan persatuan agama seperti Persatuan Agama Islam dan Kristian juga tidak pernah menimbulkan masalah sama sekali kerana masyarakat negara ini tahu bahawa Islam adalah agama persekutuan dan masyarakat bukan Islam berhak mengamalkan ajaran masing-masing.
Namun, tindakan pihak sekolah melakukan ibadah korban dengan menyembelih lembu di perkarangan sekolah yang mempunyai pelajar bukan Islam telah melangkaui batas toleransi yang dipegang kukuh selama ini.
Sejak sekian lamanya, warga bukan Islam tidak pernah mempunyai sebarang masalah dalam banyak hal yang mencakupi aktiviti mahu pun ritual agama Islam di sekolah. Namun, ritual penyembelihan lembu korban di dalam kawasan sekolah seolah-olah berjaya mengkhianati toleransi dan pengorbanan yang diberikan selama ini.
Adakah hujah Islam sebagai agama persekutuan mewajarkan segala perlanggaran sensitiviti agama dan kaum masyarakat Malaysia?
Pihak kementerian harus memikul tanggungjawab menyelesaikan isu kontroversi ini dengan penuh hikmah atau Islam yang dikenali pelajar sekolah sebagai agama yang terbuka dan sejahtera hanya mampu dicetak dalam buku teks sekolah.-Roketkini.com