Berita

Guan Eng kesal Speaker tolak soalan ke mana hilang saham Bumiputera sebanyak RM52 bilion

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng kesal dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak soalan lisannya mengenai kehilangan saham Bumiputera miskin sebanyak RM52 bilion.

Guan Eng dalam soalannya meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menyatakan mengapa Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan RM52 bilion itu yang sepatutnya diberi kepada Bumiputera miskin, sebaliknya ‘disapu’ pemimpin dan kroni UMNO.

Bagaimanapun dalam surat bertarikh 18 Oktober 2013 yang dikemukakan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mengikut arahan Pandikar Amin menolak soalan berkenaan.

Penolakan itu kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(C) iaitu ‘sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati atau mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh’.

lge parlimen“Penolakan soalan itu juga tanpa sebab munasabah adalah berlawanan dengan prinsip dan semangat demokrasi, yang mana menjejas serta mencemar perjalanan Parlimen sebagai badan tertinggi dalam Perlembagaan.

“Isu kehilangan RM52 bilion ini bukan perkara remeh, ia isu penting. Mengapa soalan itu ditolak dengan alasan begitu remeh sekali? Mereka gunakan alasan kononnya soalan saya remeh tetapi sebenarnya jawapan yang dikemukakan itu sendiri remeh.

“Bukan kerana saya dan Ahli Parlimen pembangkang mahu dapatkan saham itu, kita mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana wang saham ini perlu dikesan dan diserahkan semula kepada rakyat terutamanya Melayu, Kadazan dan Iban yang miskin. Di mana pergi wang itu? siapa telan? Kita mahu mereka bagi balik kepada orang miskin,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Pada 2009, Najib mengakui bahawa hanya RM2 bilion berjaya diserahkan kepada Bumiputera daripada jumlah sebenarnya sebanyak RM54 bilion.

ariff sakmongkolPada sidang media sama, Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz turut mengecam tindakan Dewan Rakyat menolak soalan itu seolah-olah cuba menutup ruang kepada Ahli Parlimen pembangkang berhujah dan bertanyakan soalan.

“Isu ini bukan enteng, RM54 bilion saham yang dikeluarkan, tetapi cuma RM2 bilion diberikan.

“Inilah dia konsep yang UMNO amalkan. Kita tengok istilah Bumiputera itu sendiri ‘bumi’ di depan ‘putera’ di belakang. Putera bangsawan, putera atasan boleh angkut RM52 bilion, bumi ditinggalkan ke belakang dengan hanya diberi ehsan seperti BR1M, semua habis dikebas ‘putera’ atasan.

“Ini juga bukan soal perkauman, tetapi keadilan kepada warga miskin yang lebih memerlukan termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak,” tegasnya. -Roketkini.com