Berita

PR lancar Belanjawan Alternatif 2014, sebulat suara tolak GST

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER: Pakatan Rakyat (PR) melancarkan Belanjawan Alternatif 2014 bertemakan ‘Penjimatan Ringgit’ dengan keyakinan mampu mengurangkan perbelanjaan mengurus sebanyak 10 peratus.

Dalam pelancaran ringkas itu juga, PR sebulat suara menolak sepenuhnya tindakan kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan membebankan rakyat.

Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, Belanjawan PR akan memberi penekanan kepada penjimatan ringgit bukannya kenaikan harga seperti yang diamal Barisan Nasional (BN).

“Tumpuan utama kita adalah kepada penjimatan ringgit. Program yang didapati tidak berkesan dan kurang memberi kepentingan akan dihapuskan contohnya seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menelan belanja RM800 juta setiap tahun dan Program Susu 1Malaysia (PS1M) membabitkan perbelanjaan RM170 juta.

anthony“Kami juga akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa saja yang terbabit dalam ketirisan dan pembaziran seperti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.

“Dengan mengambil langkah ini, PR menganggarkan sekurang-kurangnya RM20 hingga RM30 bilion boleh dijimatkan. Kami turut menolak sepenuhnya pengenalan GST di Malaysia kerana ia adalah cukai regresif dan akan membebankan rakyat,” katanya pada sidang media sebelum pelancaran Belanjawan Alternatif di Bilik Taklimat 1, Parlimen, hari ini.

Turut sama berucap mewakili PR melancarkan Belanjawan Alternatif 2014 ialah Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Pada masa sama, Anthony yang juga Ketua Whip DAP turut mengecam pengenalan GST yang akan mengalihkan beban cukai daripada 15 peratus kepada 85 peratus.

Menurut beliau, penguatkuasaan yang lemah juga akan mengakibatkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang berlipat ganda berbanding kadar GST, sekaligus menyebabkan kos sara hidup melonjak terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah.

“Di bawah pentadbiran kerajaan BN (Barang Naik), kadar inflasi dan kos sara hidup tentu akan terus bertambah. BN mungkin akan memperkenalkan GST pada kadar yang agak rendah sebanyak 4 peratus tetapi dengan keadaan kewangan semakin teruk akibat gejala rasuah, ketirisan dan kepincangan urus tadbir, kerajaan akan meningkatkan GST setiap tahun.

“Contohnya, Singapura yang memperkenalkan GST pada 1994 dengan tahap tiga peratus, beransur-ansur meningkatkan kadarnya kepada tujuh peratus pada 2007. Tapi harus diingat Singapura adalah sebuah negara yang memperoleh lebihan bajet setiap tahun.

“Berbeza dengan Malaysia yang mengalami defisit sejak 1998, tidak mustahil kerajaan terpaksa menaikkan kadar GST melebihi tujuh peratus dalam beberapa tahun saja. Ini secara tidak langsung akan memulakan satu kitaran inflasi, di mana harga barang akan melonjak setiap kali GST dinaikkan,” ujarnya.-Roketkini.com