Berita

Bajet 2014: BN terus abaikan nasib anak muda

KUALA LUMPUR, 27 OKTOBER: Bajet 2014 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini adalah satu lagi berita sedih kepada anak muda Malaysia.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata ia kerana bajet itu bukan saja mengabaikan anak muda, malah bakal menjadikan mereka mangsa tindakan kerajaan melaksanakan dasar ikat perut akibat kepincangan dan rasuah yang tidak berpenghujung.

Menurutnya, bajet itu juga tidak mempunyai strategi khusus menyelesaikan masalah sosio ekonomi anak muda terutamanya dalam soal pekerjaan dan hutang selain mengulangi program latihan sebelum ini yang ternyata tidak berkesan.

“Bukan sahaja Bajet 2014 tiada strategi khusus untuk memenangi ‘trilema’ anak muda, malah mereka kini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

“Pertama, dengan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, maka anak muda yang akan terbeban teruk kerana mereka adalah golongan sasaran budaya konsurisme.

“Kedua, 82.5 peratus daripada mereka bergaji RM3,000 ke bawah, sebelum ini mereka tidak perlu membayar cukai. Justeru, pengumuman perluasan kurungan cukai di mana mereka yang bergaji RM4,000 sebulan tidak perlu lagi membayar cukai langsung tidak membawa sebarang manfaat baru kepada majoriti anak muda,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY menyatakan melalui GST, majoriti anak muda yang dulunya tidak perlu membayar cukai pendapatan kini dijangka terpaksa membayar cukai baru sekurang-kurangnya RM660 (andaian bergaji kira-kira RM2,500 sebulan) dan mungkin mencecah RM1,000 setahun.

Jelasnya, pemansuhan subsidi gula pula bermakna anak muda yang sudah sedia maklum ditimpa ‘trilema’, kini ditambah beban dengan GST dan kenaikan harga makanan serta minuman.

“Bagi anak muda Sabah dan Sarawak, pelaksanaan GST, pemansuhan subsidi dan ditambah dengan dasar kabotaj bermakna bukan sahaja harga barangan akan naik lebih tinggi berbanding di Semenanjung, malah kos pengangkutan termasuk kapal terbang akan meningkat.

“Ini merupakan beban baru kepada penduduk Sabah dan Sarawak yang rata-rata bergantung kepada perkhidmatan kapal terbang untuk aktiviti sosio-ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang itu membangkitkan bagaimana kepincangan kerajaan mengakibatkan anak muda Malaysia menghadapi ‘trilema’.

Krisis ‘trilema’ yang dimaksudkan beliau ialah kadar pengangguran yang tinggi pada 10.3 peratus dengan penganggur paling ramai adalah daripada golongan berumur 20-24 tahun, iaitu 40 peratus daripada jumlah penganggur dan lain lagi.

“‘Trilema’ ini turut merangkumi kadar ‘underemployment’ serius pada 15.1 peratus termasuk gaji rendah, 82.5 peratus anak muda berumur 30 ke bawah mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan masalah ‘brain drain’ yang tinggi, dua daripada 10 siswazah berhijrah ke negara OECD dan Singapura.

“Keadaan ini ditambah teruk dengan masalah hutang di kalangan anak muda di mana 47 peratus daripada anak muda terpaksa menghabiskan 30 peratus dan lebih gaji bulanan mereka untuk membayar hutang,” ujarnya.-Roketkini.com