Berita

Hapus subsidi gula, rakyat terus dibeban kenaikan harga barang -Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 27 OKTOBER: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok menyifatkan tindakan kerajaan menghapuskan subsidi gula akan menambah beban rakyat kerana ia membawa kesan berganda ke atas harga makanan dan minuman.

“Apakah dengan menaikkan harga gula boleh mengurangkan orang ramai daripada mengambil gula?

“Jika ia berkesan, maka semua cukai yang dikenakan pada arak dan tembakau tentunya sudah berjaya mengurangkan bilangan perokok dan peminum arak di negara ini, tapi ia sama sekali tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kerajaan seharusnya mendidik rakyat mengenai keperluan mereka untuk mengurangkan penggunaan gula, bukannya menggunakan alasan tidak munasabah.

“Kerajaan perlu menjalankan pendidikan awam mengenai keperluan orang ramai mengurangkan pengambilan gula, bukannya keluar dengan alasan lemah.

“Penghapusan subsidi gula menjadikan kehidupan rakyat lebih sukar dan terbeban,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan pemansuhan subsidi gula 34 sen mulai hari ini dan menaikkan harganya daripada RM2.50 kepada RM2.84 sekilogram.

Najib mendakwa, penghapusan subsidi itu kerana didapati seramai 2.6 juta rakyat di bawah umur 30 tahun menghidap penyakit kencing manis.

Pada masa sama, Teresa yang juga Ahli Parlimen DAP Seputeh menyelar keghairahan kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tanpa mengambil kira langkah membendung masalah rasuah yang tidak pernah selesai.

“Akibat terlalu ghairah mengumpul lebih banyak pendapatan, mereka melaksanakan GST pada kadar enam peratus mulai 2015 tanpa mengambil kira langkah konkrit untuk meningkatkan tadbir urus, membendung pembaziran, ketirisan dan rasuah.

“Walhal kami (Pakatan Rakyat) sudah banyak kali menyatakan bahawa GST tidak perlu dilaksanakan kerana ia akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah yang sudah terlalu banyak dibebani dengan kenaikkan harga barang,” tegasnya.

Satu kajian Fello Penang Institute, Dr Lim Kim Hwa dan Penganalisa Penyelidikan Penang Institute, Ooi Pei Qi bertajuk ‘GST adalah cukai regresif’ mendapati bahawa GST pada kadar enam peratus, boleh menaikkan harga barang kepada tambahan 3.38 peratus.

Kajian itu turut menyatakan walaupun kerajaan menetapkan barang keperluan asas seperti makanan, pengangkutan awam, pendidikan dan penjagaan kesihatan sebagai perkara yang dikecualikan atau sifar GST, ia tetap cukai regresif di mana isi rumah berpendapatan rendah akan menanggung beban cukai lebih tinggi.

“Analisis atau kajian daripada Penang Institute ini menunjukkan bahawa dengan menggunakan GST pada kadar enam peratus, purata isi rumah dijangka membayar 2.52 peratus daripada pendapatan bulanan bersamaan RM90 setiap bulan dalam nilai Julai 2013.

“Jadi tidak hairanlah mengapa Najib dan kerajaan tidak lagi bercakap mengenai ‘Rakyat Didahulukan’,” ujar Teresa. -Roketkini.com