Berita

Pendidikan Malaysia: Bajet besar, kualiti merosot – Ahli Parlimen DAP Sandakan

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya dilihat ‘seronok’ memperuntukan belanja yang besar sebanyak RM264.2 bilion dalam Bajet 2014 untuk bidang pendidikan tetapi tahap pendidikan negara ini tidak memuaskan, bahkan semakin merosot.

Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt dalam ucapan perbahasannya di Parlimen berkata, peruntukan itu adalah yang tertinggi untuk tempoh tiga tahun berturut-turut dengan peningkatan RM15.9 bilion.

“Tetapi, ‘strategi’ Kerajaan BN dalam bidang pendidikan hanya dengan perbelanjaan yang tinggi. Seolah-olah, kalau kita menambahkan peruntukan bagi Kementerian Pendidikan, maka taraf pendidikan pelajar dan anak-anak muda kita akan meningkat.

“Malangnya, menurut kajian oleh “Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)”, kedudukan Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan serius. Hakikat ini diakui Kementerian Pendidikan sendiri, dalam Laporan Awal, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013-2025,” jelas beliau.

Laporan dalam Bab 3, muka surat 9 antara lain menyatakan “Malaysia mula menyertai pentaksiran Programme for International Student Assessment (PISA). Daripada 74 negara, pencapaian Malaysia ialah dalam kelompok sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik, dan Sains, jauh di bawah kedua-dua purata antarabangsa dan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) bagi ketiga-tiga dimensi.

Menurut Stephen Wong, dalam pentaksiran terkini, prestasi Malaysia berada sekurang-kurangnya 100 mata di bawah negara serantau berbanding Singapura, Jepun, Korea dan Hong Kong.

“Bagi PISA, murid kita yang berusia 15 tahun seolah-olah ketinggalan hampir tiga tahun persekolahan berbanding murid yang seusia di negara berkenaan dan empat tahun perbezaan berbanding Shanghai yang mempunyai sistem sekolah dengan prestasi terbaik di dunia,” katanya.

Beliau juga kecewa mengenai kedudukan tahap universiti negara ini yang semakin jatuh.

“Mengikut senarai 400 universiti terbaik dunia yang diterbitkan Times Higher Education World University Rankings 2013-2014, kedudukan Universiti Singapura adalah pada tangga ke-29, Universiti Tokyo (ke- 26), Universiti Hong Kong (ke-43, tetapi tiada satu pun universiti di Malaysia tersenarai.

“Berbeza pada era tahun 70 dan 80-an dulu di mana Universiti Malaya adalah sebuah universiti terbaik di Asia malah kedudukannya setaraf dengan Universiti Singapura, Universiti Tokyo dan Universiti Hong Kong,” ujar beliau.

Perkara ini berlaku, tambahnya, disebabkan Dasar Pendidikan yang tidak konsisten dan pindaan yang kerap dilakukan Menteri Pendidikan.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun Kementerian Pendidikan berbelanja besar, tahap pendidikan di Malaysia masih mundur dan ianya serius,” kata Stephen lagi.-Roketkini.com