Berita

DAP desak PAC, Jabatan Audit Negara siasat dana RM6.855 bilion JPM

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara menyiasat penggunaan dana RM6.855 bilion yang meragukan dan tidak mempunyai butiran jelas kegunaannya di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata, peruntukan kepada JPM itu termasuk dana kemudahan sebanyak RM4 bilion, program pembangunan bernilai RM1 bilion dan RM900 juta untuk penyusunan semula masyarakat.

Menurutnya, perbelanjaan lain pula adalah projek khas yang menelan belanja sebanyak RM202.8 juta dan RM665 juta untuk program mesra rakyat.

“Tiada maklumat khusus disediakan bagi projek ini di dalam Bajet 2014. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala harus memperjelaskan penggunaan dana ini.

“Tindakan Idris Jala mendakwa Bajet 2014 sebanyak RM16.5 bilion sebagai wajar adalah salah sama sekali.

“Malaysia mengamalkan sistem presiden. Perlembagaan kita memperuntukkan demokrasi berparlimen dengan tanggungjawab bersama Kabinet, yang mana Perdana Menteri adalah pertama di kalangan sama. Tetapi kini, JPM merampas peranan kementerian lain,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP menegaskan, ia amat tidak wajar untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan JPM sebanyak 13 peratus berbanding Bajet 2013 apabila keseluruhan yang diumumkan Jumaat lalu hanya meningkat sebanyak 1.3 peratus.

Katanya, kelima-lima dana terbabit berjumlah RM6.855 bilion iaitu 65 peratus daripada peruntukan pembangunan JPM sebanyak RM10.580 bilion.

“Dana kemudahan berharga RM4 bilion memerlukan perhatian khusus kerana sejak diperkenalkan dalam Bajet 2011 ia semakin meningkat. 2011 sebanyak RM1 bilion, RM2.5 bilion (2012) dan RM2.5 bilion tahun ini.

““Peningkatan besar ini adalah tidak wajar, seperti yang dinyatakan Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming, perbelanjaan peruntukan kepada JPM meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2013 kepada unjuran RM16.5 bilion pada 2014.

“Peningkatan itu adalah sebanyak 13 peratus, manakala bajet keseluruhan dijangka meningkat hanya 1.5 peratus daripada RM260 bilion pada 2013 kepada RM264 bilion pada 2014. Bajet JPM meningkat daripada RM3.6 bilion pada 2003 kepada RM16.5 bilion pada 2014, mengatasi kenaikan kementerian lain sejak sedekad yang lalu,” ujarnya. -Roketkini.com